Home » Langit Terbuka » Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

Jemaah haji Malaysia dari kumpulan KT1 dan KT2 telah tiba di penginapan mereka di Mekah, Abraj Janadiriah pada 9 Julai. - Foto NSTP

MEKAH – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 467 orang tiba di Mekah hari ini selepas berada di Madinah selama enam hari melakukan ibadat dan menziarahi tempat-tempat bersejarah dan makam Nabi Muhammad SAW.

Mereka yang menaiki bas dari Madinah selepas menunaikan solat subuh pagi ini tiba di Hotel Abraj Al-Janadriyah yang terletak kira-kira 700 meter dari Masjidil Haram di sini, pada pukul 2.00 tengahari waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Ketibaan kumpulan dari KT1 itu disambut oleh Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Muassasah Asia Tenggara, Mohamad Amin Hassan Andaqiri dan para petugas Tabung Haji yang bertugas di Mekah.

Selepas kumpulan KT1, jemaah dari KT2 juga akan tiba di Hotel Abraj Al-Janadriyah petang ini, yang merupakan penginapan bagi maktab 77 dan 79 yang boleh menempatkan kira-kira 7,000 jemaah.

Walaupun agak keletihan selepas mengharungi perjalanan kira-kira enam jam, rata-rata jemaah yang berpakaian ihram kelihatan gembira kerana dapat menjejakkan kaki di tanah suci Mekah.

Syed Saleh berkata, proses kemasukan jemaah ke bilik masing-masing agak cepat kerana bagasi-bagasi mereka telah dibawa terlebih dahulu semalam dan jemaah hanya perlu membaw beg kecil sepanjang perjalanan.

“Suhu di sekitar Mekah ketika ini sekitar 43 darjah Celsius dan para jemaah dinasihatkan agar menjaga kesihatan seperti banyak minum air,” tambahnya.

Selepas memasuki bilik dan berehat, para jemaah akan dibawa ke Masjidil Haram malam ini bagi melakukan ibadah umrah yang pertama mereka dengan melakukan tawaf dan sai. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *