Home » Langit Terbuka » Jemaah perlu periksa kesihatan sebelum ke Tanah Suci

Jemaah perlu periksa kesihatan sebelum ke Tanah Suci

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji berkata, bakal jemaah perlu melakukan saringan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal sebelum berangkat. - Foto Utusan

BANGI – Jemaah haji yang akan menunaikan ibadah berkenaan tahun ini, dinasihat melakukan pemeriksaan kesihatan lebih awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH) , Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata bakal jemaah perlu melakukan saringan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal sebelum berangkat.

Ini kerana, katanya, ada antara bakal jemaah haji terutama yang sudah berusia tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.

“Mereka hanya melakukan ujian sebulan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Bila buat pemeriksaan kesihatan, baru tahu yang mereka ada macam-macam penyakit termasuk penyakit tiga serangkai (darah tinggi, jantung dan kencing manis). Jadi rawatan dalam tempoh sebulan tidak cukup untuk memastikan mereka benar-benar sihat.

“Buat pemeriksaan lebih awal. Contohnya, jika mereka dapat surat tawaran pada Januari dan penerbangan pertama pada 4 Julai, bermakna jemaah mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan untuk membuat persediaan termasuk saringan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kesihatan Ke Arah Kesempurnaan Manasik Haji dan Umrah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Syed Saleh berkata, mengikut profil TH, kebanyakan jemaah haji Malaysia sudah lanjut usia dengan mereka yang berumur 70 tahun ke atas mewakili 30 peratus, diikuti berusia lebih 50 tahun sekitar 50 peratus.

“Purata jemaah haji akan berada di Tanah Suci sekitar 45 hari dan dalam tempoh itu, mereka menjalani kehidupan lain daripada rutin di Malaysia. Sekiranya mereka tiada ketahanan yang kuat, ia akan menimbulkan pelbagai masalah terutama dalam aspek kesihatan.

“Justeru, kita adakan program saringan kesihatan awal supaya mereka yang dikesan berpenyakit, ada masa menjalani rawatan sebelum menunaikan haji,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ia juga dapat meringankan kos dan beban rawatan jemaah di Tanah Suci serta membolehkan pasukan perubatan TH memberi tumpuan kepada kes-kes baharu sahaja.

“Keadaan kesihatan perlu dititikberatkan bakal jemaah. Ia penting bagi memastikan ibadat berjalan lancar kerana di Tanah Suci, mereka juga banyak melakukan aktiviti fizikal termasuk berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh,” katanya.

Seminar berkenaan adalah kesinambungan Program Jemaah Haji Sihat anjuran Pusat Penuaan Sihat dan Sejahtera (H-Care) Falkulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia untuk berkongsi pengetahuan, informasi, perkhidmatan kesihatan dan kecergasan fizikal serta rohani bakal jemaah haji dan umrah. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *