Home » Langit Terbuka » Unit Pemantauan Isu Menghina Islam : Tangani Dengan Rahmah

Unit Pemantauan Isu Menghina Islam : Tangani Dengan Rahmah

Yang Dipertua YADIM berkata, masyarakat perlu bekerjasama dengan unit pemantau yang ditubuhkan JAKIM untuk melaporkan kejadian menghina Islam untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyifatkan langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menubuhkan Unit Pemantauan Isu Hina Islam sebagai satu tindakan telus dan proaktif dalam menangani isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Penubuhan unit berkenaan yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof itu, adalah tepat, pantas pada masanya memandangkan isu agama merupakan isu yang sangat sensitif, mudah dimanupulasi dan boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pada pandangan YADIM, penubuhan unit ini menjelaskan lagi betapa kerajaan amat mengambil berat dan rasa kebertanggungjawaban terhadap isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang kini semakin berleluasa.

YADIM berharap unit ini mampu menjadi platform kepada masyarakat untuk menyalurkan aduan berkaitan isu penghinaan terhadap Nabi dan seterusnya ia dapat ditangani dengan baik dan rahmah.

Inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri menubuhkan sebuah unit khas bagi memantau isu-isu penghinaan Islam dan Nabi Muhammad SAW amatlah dipuji setelah perkara sedemikian sejak akhir-akhir ini menjadi semakin semarak dan menjadi tular di platform media sosial.

Langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan cepat dan cekap bagi mengelakkan isu penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW oleh segelintir orang awam cenderung berubah menjadi konflik antara agama dan kaum sebagaimana berlaku di beberapa buah negara.

Berdasarkan prinsip Rukunegara, amalan sosial dan peraturan yang terdapat di Malaysia, persoalan pelecehan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia termasuk dalam peraturan yang bertujuan menjaga keharmonian antara kaum.

Sebagai sebuah unit yang dikhusus ditubuhkan untuk memantau isu-isu yang berkaitan pelecehan agama dan penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, masyarakat bukan sahaja perlu bekerjasama untuk melaporkan kejadian sedemikian untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, selain menerima aduan dan laporan daripada masyarakat, unit pemantauan ini akan dapat mengesan secara menyeluruh dan berkesan mengenai fenomena tersebut.

Pegawai-pegawai yang diberikan tanggungjawab tersebut pastinya dilengkapi dengan kemahiran menganalisis sentimen warga maya dan berkebolehan dalam menyelidik, memantau dan mengesannya secara cepat dan tangkas sepanjang masa.

Ini disebabkan kedinamikan media sosial berlaku sepanjang masa, dan unit pemantau tersebut sudah tentu akan dibekalkan dengan kelengkapan perisian khusus bagi membantu mengenalpasti pelaku serta apa yang ditularkan.

Pasukan pemantau isu-isu mengenai Islam dan penghinaan Nabi Muhammad SAW dengan kemahiran yang ada dan kelengkapan teknologi sudah pastinya dapat menangani isu-isu berkaitan dengan profesional dan rahmah.

Di samping itu juga, para petugas dapat mengumpul maklumat dan menganalisis data raya (big data) bagi membolehkan mereka dapat membaca sentimen warganet dengan cekap, tepat dan memadai sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan tegas.

Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
1 Rejab 1440H/ 8 Mac 2019

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *