Home » Langit Terbuka » Kaji dahulu sebelum tayang

Kaji dahulu sebelum tayang

Pihak produksi perlu membuat homework dari sudut Islam dan budaya Melayu berteraskan Islam sebelum drama atau filem mereka ditayangkan. (gambar hiasan).

SHAH ALAM – Penulis skrip, pengarah dan pelakon disarankan mengkaji terlebih dahulu sebelum menayangkan drama atau filem jika ia menyentuh perkara berkaitan Islam.

Pendakwah, Ustazah Asmak Hussain berkata, filem atau drama adalah medium dakwah yang sangat baik pada masa kini, kerana ia diikuti oleh ramai pengikut dalam kalangan penduduk Malaysia terutama anak muda.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Ulama Malaysia berkata, pihak yang terbabit dalam penghasilan drama atau filem hendaklah bersikap prihatin dan peka dengan naskhah mahu ditayangkan kepada umum.

“Penulis skrip contohnya, sebelum menulis apa-apa manuskrip perlu melakukan kajian terperinci dengan mengambil berat aspek-aspek menyentuh perkara membabitkan syariat.

“Begitu juga dengan pengarah dan pelakonnya. Bagi saya, sangat perlu pihak yang terlibat membuat homework dari sudut Islam dan budaya Melayu berteraskan Islam sebelum ditayangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, terdapat drama mengisahkan wanita yang baru dua bulan kematian suami dan sudah keluar bersama abang iparnya.

Katanya lagi, watak itu membabitkan seorang wanita yang dalam iddah (tempoh bertenang) dan jelas menggambarkan dia tidak prihatin hukum beriddah.

“Iddah tidak menghalang wanita yang ingin keluar bekerja mencari rezeki dan menyelesaikan keperluan penting untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi keluar makan dengan abang ipar sendiri di restoran jelas tidak menggambarkan pematuhan hukum iddah.

“Selain itu, sikap watak lelaki yang terus datang untuk menagih cinta, sedangkan wanita itu  masih dalam iddah juga menunjukkan skrip yang longgar,” jelasnya.

Asmak berkata, beliau bimbang jika budaya itu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan diikuti secara membuta tuli oleh mereka yang tidak berpengetahuan.

Sarannya, selepas ini diharapkan ada jaringan antara pakar dalam bidang agama berkolaborasi dengan pembuat drama atau filem bagi memperkuatkan lagi filem atau drama Malaysia, sekali gus menjadi medium dakwah terbaik. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *