Home » Langit Terbuka » Kajian perlu dibuat faktor warga tempatan cenderung nikah warga asing

Kajian perlu dibuat faktor warga tempatan cenderung nikah warga asing

KUALA LUMPUR, Isnin – Kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi mengetahui faktor yang menyebabkan warga tempatan lebih cenderung untuk menikahi warga asing berbanding penduduk tempatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kajian seperti itu wajar dilakukan dengan mengambil kira trend semakin ramai masyarakat di negara ini yang memilih untuk berbuat demikian.

“Saya rasa ini perlu dibuat kajian secara lebih saintifik, mungkin semua orang tahu kalau kita bercakap soal percintaan, tetapi mungkin juga ada faktor lain seperti adakah kerana mereka hanya nak dapatkan status PR (penduduk tetap) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Persidangan Dewan Negara, di sini hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Johari Mat mengenai perkara itu.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengenai bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat luar negara,

Asyraf Wajdi berkata, maklumat berkaitan perkahwinan atau pendaftaran orang Islam di negara ini termasuk luar negara adalah di bawah seliaan dan pengurusan jabatan agama Islam negeri-negeri yang berkenaan.

“Sebagai contoh, daripada maklumat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan, bilangan rakyat Malaysia berkahwin dengan rakyat luar negara antara 2011 hingga 2015 berjumlah 2,144 orang.

“Ia melibatkan jumlah warga negara asing lelaki 2,028 orang manakala 116 orang merupakan warga negara asing perempuan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *