Home » Langit Terbuka » Kalimah Allah hanya di Sarawak – PM

Kalimah Allah hanya di Sarawak – PM

Melaka: Penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan hanya terpakai untuk negeri berkenaan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjelasan berkaitan keputusan kerajaan itu juga sudah diperjelas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Sarawak kita faham dulu tak terikat dengan keputusan negeri-negeri, dia tak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, tak boleh.

“Ini (kalimah ‘Allah’) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri sebegitu rupa, kita kena faham,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak di sini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Perdana Menteri diminta mengulas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran

Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain- ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *