Home » Langit Terbuka » Kastam tubuh cawangan khas siasat salah laku pegawai

Kastam tubuh cawangan khas siasat salah laku pegawai

Ketua Pengarah Kastam berkata, penubuhan cawangan tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 137 Akta Kastam yang memberi kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai kastam yang disyaki menawar atau menerima rasuah. - Foto JKDM Perak

BANGI – Kastam Di Raja Malaysia mengumumkan penubuhan cawangan siasatan dalaman khas bagi menyiasat isu rasuah dan salahguna kuasa dalam jabatan itu berkuat kuasa sepenuhnya Rabu ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T Subromaniam berkata, penubuhan cawangan tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 137 Akta Kastam yang memberi kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai kastam yang disyaki menawar atau menerima rasuah.

“Saya memang akui ada isu integriti, isu rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan. Sebab jabatan ini adalah satu jabatan yang besar, jumlah anggota lebih 14,000 orang,” katanya pada sidang media di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Ilkap) hari ini.

Subromaniam berkata cawangan itu akan dianggotai 27 pegawai yang kini sedang menjalani latihan di Ilkap. Mereka akan memberi tumpuan kepada kes-kes melibatkan sindiket yang cuba mendapatkan bantuan pegawai kastam.

“Mereka akan siasat kes sebegini dan akan mendakwa sindiket bersama-sama pegawai jika pegawai kastam itu turut terlibat.

“Mana-mana pegawai yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Subromaniam berharap penubuhan cawangan akan dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kastam yang sering berdepan isu salahguna kuasa dan rasuah. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *