Home » Langit Terbuka » Kayuh 10,000km menuju ibadah haji

Kayuh 10,000km menuju ibadah haji

SULIMAN (depan) bergambar bersama ahli keluarga dan kenalan serta penaja sebelum melakukan kayuhan solo sejauh 10,000 kilometer ke Makkah jam kira-kira 8.50 pagi tadi di sebuah hotel di Changlun menghala ke Thailand. - Foto BERITA HARIAN

SETELAH dua tahun menjalani latihan, akhirnya bapa kepada enam orang anak tekad untuk melakukan kayuhan solo ke Mekah bagi menunaikan ibadat haji bermula hari ini.

Suliman Abd Lah, 47, dari Padang Serai, Kulim akan melalui lapan buah negara dengan kayuhan sejauh 10,000 kilometer bermula dari Changlun dan dijangka tiba pada 16 Julai depan di Mekah.

Katanya, berbekalkan peralatan, sedikit makanan dan senaskah Al-Quran, dia akan menjadikan masjid sebagai tempat persinggahannya selain akan mengkhatam kitab suci itu sepanjang kembaranya.

“Saya menyimpan hasrat ini sejak tujuh tahun lalu, hari ini cita-cita saya tercapai setelah dua tahun menjalani latihan dengan tunjuk ajar golongan profesional.

“Saya namakan kayuhan saya ini ‘Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018’ sebagai motivasi untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan kayuhan pagi tadi.

Suliman berkata, beliau mengambil masa sebulan untuk membuat kajian laluan yang bakal ditempuhi dan mendapat nasihat dari orang alim untuk tidak melakukan kayuhan pada hari Jumaat.

Penolong Pengurus Unit Elektrik dan Elektronik Tol Plaza Jambatan Pulau Pinang itu berkata, setiap hari Jumaat sepanjang perjalanan itu, akan digunakan untuk beriktikaf di masjid.

“Keluarga saya dan rakan-rakan telah memberi sokongan moral dalam misi kayuhan saya ini. Saya juga turut mendapat pelbagai tajaan termasuk syarikat saya bekerja iaitu PLUS Malaysia Berhad, Terengganu Cycling Team (TSG) dan daripada rakan media akhbar Harian Metro,” katanya.

Suliman yang memulakan kayuhan 8.50 pagi tadi dari hotel di Changlun turut ditemani ahli keluarga serta kenalan sehingga ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Beliau kemudiannya meneruskan kayuhan sejauh 115 km ke Masjid Al-Bushra, Phattalong, Thailand.

Katanya, kayuhan itu akan menguji ketahanan fizikal dan mentalnya berikutan akan menghadapi cuaca panas di negara terbabit iaitu Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, UAE dan seterusnya Arab Saudi.

“Walaupun cuaca panas, saya perlu harungi demi niat saya untuk beribadah dan menunaikan rukun Islam kelima, saya memilih untuk untuk berkayuh ke sana agar dapat melihat keagungan Islam dan ciptaan Ilahi sepanjang perjalanan.

“Insha Allah saya akan kemas kini Facebook saya yang menggunakan nama Man Gerek Abdullah dan Kemlak setiap tiga hari bagi berkongsi dengan orang ramai mengenai perjalanan saya, saya juga mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan saya berjaya dalam misi ini,” katanya yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam sukan berbasikal.

Sekembalinya dari tanah suci, Suliman berhasrat untuk memberikan motivasi kepada pelajar sekolah yang terpilih agar pengalamannya menempuh pelbagai cabaran semasa kayuhan dapat dikongsi serta memberikan semangat dan pengajaran kepada mereka. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *