Home » Langit Terbuka » Program Umrah Penggiat Seni diperluas kepada bekas atlet

Program Umrah Penggiat Seni diperluas kepada bekas atlet

DATUK Rizal Mansor (lima dari kiri) bergambar bersama artis veteran dan bekas atlet di KLIA. - Foto BERITA HARIAN

SEPANG: Program Umrah Penggiat Seni yang dikendalikan Yayasan Perdana Ummah (YPU) turut memberi peluang kepada bekas atlet kebangsaan untuk menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci selain artis veteran.

Pengerusi Eksekutif YPU, Datuk Rizal Mansor, berkata penghantaran kumpulan kedua untuk mengerjakan umrah kali ini membuat sedikit kelainan apabila turut membawa bekas atlet kebangsaan.

Beliau berkata, kumpulan kedua program itu disertai 11 orang iaitu lapan artis veteran dan tiga bekas atlet kebangsaan.

“Kita berusaha untuk membawa lebih ramai peserta, namun terdapat beberapa kekangan lain. Semua peserta program dipilih berdasarkan beberapa kriteria, seperti kurang berkemampuan dari segi kewangan, kemampuan fizikal serta tidak mempunyai larangan perjalanan ke luar negara.

“Bagi atlet pula, pemilihan mereka dibuat melalui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Kita dapat nama dari yayasan dan sekiranya semua kriteria yang diperlukan ada, kita tidak ada halangan.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi demi menyambut baik hasrat baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu golongan ini diberi peluang untuk mengerjakan umrah,” katanya selepas bertemu peserta Program Umrah Penggiat Seni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Seorang peserta yang juga bekas pemain bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, 72, berkata dia bersyukur apabila mendapat perkhabaran dipilih oleh YAKEB untuk menyertai program berkenaan.

“Sebenarnya saya sudah lama menyepi dan tinggal di Perlis, tidak sangka walaupun sudah lama tidak muncul di khalayak, masih ada yang ingat pada saya.

“Saya sangat bersyukur mendapat peluang ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dengan inisiatif beliau, kami mendapat peluang seumpama ini,” katanya.

Syed Ahmad ialah bekas penyerang skuad bola sepak negara yang berjaya menjaringkan tiga gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatan pada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.

Seorang lagi peserta, bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir, 49, berkata dia sebelum ini tidak pernah terfikir akan mendapat peluang untuk mengerjakan umrah.

“Saya anggap ini satu rezeki yang bukan semua orang memperolehnya, syukur kepada semua pihak yang menjayakan program seumpama ini.

“Apa yang saya akan doakan sebaik tiba di Tanah Suci nanti ialah semoga dipermudahkan kedua orang tua saya untuk masuk syurga selain terus-terusan memberi keamanan kepada negara kita ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *