Kedudukan kewangan TH kembali kukuh

0
411
Terbitan sukuk bernilai RM19.9 bilion oleh Urusharta Jemaah juga telah memberikan pulangan sebanyak empat peratus atau lebih kurang RM800 juta setahun kepada TH. - Foto The Malaysian Reserve

KUALA LUMPUR – Kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kembali kukuh dengan selesainya langkah penstrukturan semula pada Mei lepas menerusi perpindahan aset tidak berdaya maju kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (Urusharta Jemaah).

Urusharta Jemaah merupakan syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

TH berkata, sebelum penstrukturan semula dilaksanakan, liabiliti TH melebihi aset sebanyak RM10 bilion sekali gus menghalangnya daripada membayar hibah kepada pendeposit berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 yang mensyaratkan hibah atau dividen tidak boleh dibayar jika tanggungan (hutang atau liabiliti) TH melebihi aset sedia ada.

- advertisement -

“Nilai aset yang dipindahkan tidak boleh dilihat secara berasingan tetapi dinilai secara menyeluruh kerana urus niaga tersebut bertujuan mengimbangi kembali jumlah aset dan liabiliti TH,” menurutnya kenyataan.

TH berkata, semua aset yang dipindahkan kepada SPV termasuk sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX), merupakan sama ada aset yang nilai semasanya di bawah kos pelaburan atau aset yang tidak menjana keuntungan dan aset yang memberi pulangan rendah kepada TH.

“Walaupun sesetengah aset dilihat mempunyai nilai di masa hadapan, TH perlu melabur sejumlah dana yang besar untuk pembangunan aset seperti projek kediaman mewah atau kompleks komersial yang dilihat tidak sesuai dengan pasaran masa kini serta berisiko kepada dana pendeposit,” menurutnya.

TH berkata, ia mempunyai hak penolakan pertama untuk mendapatkan semula aset daripada Urusharta Jemaah sekiranya aset-aset tersebut memenuhi strategi perniagaan TH dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada pendepositnya.

Ia berkata selain itu terbitan sukuk bernilai RM19.9 bilion oleh Urusharta Jemaah juga telah memberikan pulangan sebanyak empat peratus atau lebih kurang RM800 juta setahun kepada TH.

TH terus memainkan peranan aktif di dalam ekonomi negara melalui portfolio pelaburan termasuk pelaburan secara langsung menerusi anak-anak syarikatnya dan hartanah.

“Prestasi anak-anak syarikat TH adalah memberangsangkan terutama Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd,” menurut TH.

TH berkata Bank Islam mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM437 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2019 dengan peningkatan sebanyak 9.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga pula mencatatkan rekod baharu bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan keuntungan yang dijana sebanyak RM322 juta meningkat 40 peratus berbanding angka yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu TH berkata, TH Travel & Tours Sdn Bhd pula terus menjadi antara agensi pelancongan Muslim pilihan yang telah memberi khidmat kepada 1,044 orang jemaah haji dan 19,405 jemaah umrah pada 2018.

Selain itu BIMB Investment Management Bhd juga memperkenalkan Dana ESG Syariah BIMB yang merupakan pengurus dana syariah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terbesar di Malaysia dengan saiz dana melebihi RM900 juta pada masa ini.

“TH akan terus mencari peluang pelaburan baharu serta melabur dengan cara yang bersesuaian dan mengambil kira aspek profil risiko para pendeposit,” menurut TH.

Ia berkata keyakinan rakyat Malaysia. khususnya yang belum menunaikan haji, terhadap TH kekal tinggi dan setakat akhir Oktober 2019, TH mempunyai 9.4 juta pendeposit dan bilangan pendeposit yang belum menunaikan haji telah meningkat kepada 8.7 juta dengan nilai deposit berjumlah RM42.6 bilion.

“Bilangan pendeposit yang telah berdaftar untuk haji juga meningkat dan pada masa yang sama menarik lebih 50,000 pendaftaran haji baharu dalam tempoh tiga bulan lepas,” menurut TH. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here