Home » Langit Terbuka » Kementerian komited gubal undang-undang larang merokok di tempat awam

Kementerian komited gubal undang-undang larang merokok di tempat awam

Menteri Kesihatan berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia untuk memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok. - Foto Bernama

MELAKA – Kementerian Kesihatan komited untuk menggubal, dalam masa terdekat, Akta Kawalan Tembakau secara berasingan yang mewartakan semua tempat awam sebagai kawasan larangan merokok dengan senarai tempat yang terhad untuk perokok menghisap rokok.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia untuk memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok.

Beliau berkata dalam apa jua perubahan, pengubahsuaian norma-norma masyarakat yang semula jadi melibatkan merokok tentu tidak mudah, tetapi kementerian yakin ia boleh dan akan dilakukan dengan kejayaan muktamad.

“Mungkin suatu hari nanti kita akan mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang merokok di sekitar kanak-kanak bawah umur tanpa mengira lokasi kesalahan itu dilakukan.

“Hati saya hancur-luluh setiap kali melihat orang dewasa merokok semasa mendukung anak mereka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis “Recognition and Awards Ceremony for Revolution Smoke-Free Workplace Campaign” malam ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong dan Presiden Malaysian Women’s Action on Tobacco Control and Health, Roslizawati Ali.

Pada majlis itu, 14 hotel di Melaka menerima pensijilan sebagai tempat kerja bebas asap rokok yang disampaikan oleh Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly berkata asap rokok mengandungi beribu-ribu jenis bahan kimia beracun yang jika terhidu boleh menyebabkan kanser, penyakit jantung, penyakit paru-paru dan masalah kesihatan lain yang serius.

“Oleh itu, undang-undang dan dasar yang efektif perlu digubal dan dikuatkuasakan dengan ketat untuk memastikan penduduk dilindungi secukupnya daripada ancaman pencemaran daripada asap rokok,” kata beliau.

Beliau berkata sebagai penjaga kesihatan awam, kementerian bertekad untuk mengutamakan kepentingan yang terbaik kepada rakyat mengatasi mana-mana entiti komersial.

“Tetapi usaha itu boleh menjadi sangat mencabar, dan kami mungkin tidak dapat melakukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, saya menyeru kepada semua sektor terutama masyarakat awam, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menyokong kami,” katanya. – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *