Home » Langit Terbuka » Mufti Perlis tegur tok kadi, jangan rumitkan lafaz akad nikah

Mufti Perlis tegur tok kadi, jangan rumitkan lafaz akad nikah

Mufti Perlis menjelaskan, akad nikah hanyalah bagi menggambarkan persetujuan kedua-dua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. - Foto FB

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan kadi dan jurunikah supaya tidak mendera pengantin dengan menyulitkan lafaz nikah mereka iaitu perkara yang sepatutnya dipermudahkan.

Beliau yang tidak selesa dengan situasi itu berkata, kadi dilihat sering kali mendera atau membuli pengantin agar mengulangi lafaz terima nikah kononnya ungkapan itu sebagai belum sah.

Katanya, akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang itu menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya.

“Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambarkan persetujuan kedua-dua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud tujuan tersebut maka ia sah.

“Sebagai contoh, jika bapa bakal isteri menyebut “saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab; “saya terima, atau saya bersetuju” atau ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam mazhab Syafie maka sahlah ijab dan kabul tersebut.

“Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Tambah beliau, perkara itu bertepatan dengan syariat seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dan Imam Muslim.

“Apa yang penting, proses ijab dan kabul amatlah mudah dan lafaz yang difahami oleh kedua-dua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin sehingga menjadi suami dan isteri.

“Apabila proses itu berlaku maka ia sah, … Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak membuli pengantin.

“Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun sudah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang menyusahkannya dengan sengaja bertanya kepada hadirin, perlu ulang ke? lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *