Home » Citra Yadim » Kempen derma darah sempena Ramadan

Kempen derma darah sempena Ramadan

KOTA KINABALU 6 Jun – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah akan menganjurkan kempen derma darah khas sempena Ramadan selepas berjaya melaksanakan program yang sama pada tahun lepas.

Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki berkata, pihaknya komited untuk meneruskan usaha berkenaan bersama Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth sekaligus mengatasi masalah kekurangan darah yang mungkin berlaku ketika musim perayaan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Beliau berkata, program yang bakal diadakan pada 9 Jun ini akan bermula sekitar jam 8.15 malam iaitu selepas sahaja selesai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih.

“Pada kali ini kami akan mengadakan program di Masjid Baitus Salaam, Perumahan SPNB Vista Minintod, Penampang.

“Diharapkan mana-mana anggota masyarakat yang mahu menderma darah boleh datang ke lokasi berkenaan untuk sama-sama membantu mengisi tabung darah,’’ katanya.

Beliau berkata, niat membantu sesama manusia lebih-lebih lagi dilaksanakan di bulan Ramadan adalah sesuatu yang mulia dan mampu menyelamat nyawa pada saat-saat yang sangat memerlukan.

Pada tahun lepas, buat julung-julung kalinya, YADIM Zon Sabah telah menganjurkan program derma darah pada bulan Ramadan bertempat di Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru,  dan telah turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Dalam program berkenaan sebanyak 65 pain darah dapat dikumpulkan dan telah dapat membantu pihak hospital bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran musim perayaan.

Menurut Samin lagi masa menderma darah sengaja dirancang diadakan pada waktu malam untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam yang sedang berpuasa.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *