Home » Citra Yadim » YADIM jemput orang ramai sertai JMU 2017

YADIM jemput orang ramai sertai JMU 2017

KUALA LUMPUR 6 Jun – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan tahun ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengadakan program Jelajah Muamalah Ummah (JMU) Politeknik Malaysia 2017 di empat buah politeknik di kawasan selatan tanahair bermula 10 Jun ini dan berakhir pada 15 Jun.

Penyelaras program ini, Zam Zarizal Mad Ariffin berkata, program yang turut dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Politeknik serta pelbagai pihak lain itu, melibatkan empat buah politeknik iaitu Politeknik Mersing, Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Politeknik Merlimau dan Politeknik Port Dickson.

Justeru, menurutnya, YADIM mempelawa orang ramai terutama yang tinggal berhampiran politeknik-politeknik berkenaan untuk sama-sama hadir untuk menyertai pelbagai pengisian yang menarik menerusi slot-slot ceramah yang akan diadakan serta pelbagai aktiviti sepanjang program.

“Dalam program ini konvoi jelajah seramai 100 orang yang terdiri daripada kakitangan YADIM, politeknik serta badan-adan lain akan bergerak dari Putrajaya pada 10 Jun menunju Politeknik Mersing dan kemudiannya konvoi jelajah meneruskan perjalanan ke Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Merlimau  dan Politeknik Port Dickson,’’ katanya

Beliau berkata, di setiap lokasi persinggahan konvoi pelbagai acara menarik disediakan oleh pihak politeknik masing-masing serta YADIM seperti karnival muamalah Islam, memasak bubur lambuk, program khidmat bakti masyarakat, majlis khatam al-Quran, singgah sahur, majlis iftar perdana dan lawatan ke perkampungan Orang Asli.

Jelasnya, selain itu, aktiviti berbentuk ceramah juga akan diadakan dengan memfokuskan kepada isu-isu muamalah Islam, akidah dan kekeluargaan.

Turut serta dalam program ini adalah Pencetus Ummah Amin yang akan mengendalikan slot motivasi serta Hafiz Hamidon yang akan memberikan persembahan pada majlis penutupan program.

“Secara ringkasnya, objektif utama Jelajah Muamalah Ummah adalah untuk membudaya pemikiran dan pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan sistem kewangan Islam yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta menjawab persoalan pelbagai permasalahan ummah di kalangan masyarakat awam,’’ katanya.

Selain daripada YADIM dan Jabatan Pendidikan Politeknik, beliau berkata, rakan kerjasama utama program ini adalah Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Yayasan Taqwa.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *