Home » Langit Terbuka » Himpunan Jubli Jerusalem batal

Himpunan Jubli Jerusalem batal

Penganjur sendiri buat keputusan selepas dinasihat polis

MELAKA 5 Jun – Selepas mendapat bantahan banyak pihak, penganjur Himpunan Jubli Jerusalem yang dikaitkan dengan gerakan dakwah Kristian dan Yahudi, membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan tersebut di negeri ini setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya telah memanggil penganjur dan hasil perbincangan mereka telah membuat keputusan sendiri untuk membatalkan perhimpunan itu yang dijadual diadakan di Cheng pada 15 hingga 18 Jun ini.

“Pihak polis telah memberikan nasihat sebaiknya kepada pihak penganjur dan kemudian pe­nganjur membuat keputusan untuk membatalkan program tersebut,” katanya yang memberitahu sebanyak 33 laporan polis telah dibuat berhubung himpunan itu dari sekitar negeri ini.

Baru-baru ini tersebar satu risalah penganjuran program Jubli Jerusalem dalam media sosial yang difahamkan akan diadakan di Calvary Life Assembly Chinese (CLAC).

Berikutan itu, bukan setakat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah kerajaan nege­ri sendiri membantah sekeras-kerasnya pe­ngan­­juran himpunan itu dan tidak mahu program itu diadakan di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini berkata, kerajaan ne­geri tidak pernah menerima sebarang bentuk permohonan apatah lagi meluluskan penganjuran program tersebut yang dilihat mempunyai agenda tersirat.

Menurutnya, perhimpunan se­perti itu tidak boleh dilaksanakan kerana tidak mendapat permit penganjuran dan itu dianggap melanggar peraturan serta boleh diambil tindakan sekiranya tetap diadakan.

“Kita tidak mahu ia dijadikan acara di Melaka. Saya harap polis bawa perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diperhalusi,” katanya.

Mengulas hal itu Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil memberitahu, gerakan Kristianisasi yang berjalan secara menyeluruh itu dilihat bertentangan dengan ritual harian masyarakat Kristian di negara ini, malah program itu boleh dianggap untuk ‘menyerang’ masyarakat Islam dalam bentuk dakwah.

“Penganjur himpunan ini dilihat tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam selain melanggar prinsip Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia,” kata­nya.

Dalam pada itu, sebanyak 33 NGO di seluruh Melaka mengadakan perhimpunan aman membantah himpunan itu selepas membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh di sini mulai pukul 1 petang.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd. Nizam Omar yang mengetuai bantahan secara aman itu mendesak polis supaya menghalang perhimpunan itu daripada diteruskan.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sepatutnya tidak dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk me­nganjurkan program berbaur ha­sutan itu.

Menurutnya, program itu dianggap menghina negara dan Islam kerana dianjurkan sempena kejayaan Zionis Israel menjajah Palestin dan Perkasa percaya itu ada kaitan dengan gerakan Evangelisme di Malaysia.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *