Home » Langit Terbuka » Kenaikan harga lembu tidak halang umat Islam jalani ibadah korban

Kenaikan harga lembu tidak halang umat Islam jalani ibadah korban

Permintaan lembu menjelang Aidiladha dengan harga seekor lembu meningkat sebanyak RM500 dengan harga minimum RM4,500. - Foto Arkib

Kuala Lumpur – Harga lembu yang meningkat pada tahun ini tidak menghalang umat Islam untuk menunaikan ibadah korban sempena Aidiladha dengan ramai dikalangan mereka mendaftar nama di masjid dan surau berdekatan.

Ia diakui Bendahari Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati, Gombak, Amirul Syahmee Amir Hamzah yang berkata, kenaikan harga lembu tidak memberi kesan kepada umat Islam untuk beribadah sebaliknya masih ramai yang mahu membuat pendaftaran walaupun sudah ditutup.

Menurutnya, pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan sebelum pendaftaran untuk 16 lembu pada tahun ini ditutup, 10 Jun lalu.

“Harga untuk satu bahagian lembu adalah RM790 manakala seekor lembu pula RM5,530 termasuk kos pengurusan seperti baju petugas, bekas simpan daging serta makan minum petugas yang menyembelih lembu.

“Memang ada perbezaan harga untuk setiap masjid kerana ia bergantung kepada pembekal, kemudian kos pengurusan, kos penghantaran lembu serta kos melapah daging di ladang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketua Imam Masjid Jamek Al-Khadijah, Pantai Dalam, Muhammad Amin Firdaus Sabudin berkata, pihaknya menerima sambutan memberangsangkan sebaik pendaftaran untuk melakukan ibadah korban dibuka pada awal bulan ini.

Menurutnya, pihaknya menerima pendaftaran ahli kariah yang mahu melakukan ibadah korban setiap hari.

“Tahun ini kami merancang menyembelih 13 lembu. Tahun lalu berikutan masih dalam keadaan pandemik Covid-19, kami hanya membuka pendaftaran untuk tujuh lembu.

“Harga lembu juga bergantung kepada pemilihan gred lembu kerana di masjid ini, kami menggunakan lembu gred C dengan satu bahagian berharga RM720 manakala seekor lembu RM5,040.

“Biasanya pendaftaran ibadah korban ini dibuka seminggu sebelum Aidiladha, namun apabila kami tahu harga lembu meningkat tahun ini, kami buka lebih awal untuk melihat penerimaan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 42 orang sudah mendaftar di masjid berkenaan sekali gus menunjukkan kenaikan harga lembu tidak menghalang umat Islam untuk melakukan ibadah korban.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Lembu Ayer Hitam, Razip Keling berkata, pihaknya menerima banyak permintaan menjelang Aidiladha walaupun harga seekor lembu meningkat sebanyak RM500 dengan harga minimum RM4,500.

“Penternak perlu mengambil kira peningkatan kos makanan seperti dedak serta kos penjagaan termasuk rawatan dan perubatan untuk lembu yang dijangkiti penyakit berjangkit.

“Kos perubatan lembu yang mahal juga mengakibatkan kami terpaksa menaikkan harga haiwan berkenaan pada sambutan Aidiladha tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan harga lembu tidak memberi kesan kepada permintaan daripada pihak masjid dan surau untuk menempah lembu bagi menunaikan ibadah korban. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *