Home » Kenyataan Media » KENYATAAN MEDIA YADIM BERHUBUNG ISU DEBAT PIALA TUN RAZAK 2019

KENYATAAN MEDIA YADIM BERHUBUNG ISU DEBAT PIALA TUN RAZAK 2019

YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM) ingin menzahirkan kekesalan atas polemik yang timbul daripada Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019.

Polemik ini merupakan satu kontroversi yang sebenarnya boleh dan wajar dielakkan sekiranya pihak penganjur mempertimbangkan secara waras dan bersikap realistik akan hakikat sensitiviti yang membentuk masyarakat di Malaysia.
Besar kemungkinan pihak penganjur membayangkan bahawa di era Malaysia baharu ini, setiap pihak bebas mengutarakan pandangan tanpa menginsafi bahawa kebebasan tersebut harus dibina atas dasar kebertanggungjawaban yang tinggi terhadap setiap citra perbezaan yang wujud.

Adalah aneh bagi sebuah pertandingan debat di peringkat kebangsaan seakan-akan meninggalkan prinsip asas peraturan mana-mana pertandingan debat di Malaysia yang biasa diamalkan iaitu tidak menyentuh isu sensitif keagamaan, perkauman dan sebagainya.

Tambah menghairankan adalah sikap penganjur yang menimbulkan kontroversi dalam sebuah pertandingan debat sekolah yang umum mengetahui bahawa perdebatan tersebut bukanlah sebuah perdebatan dunia akademik dan ini melambangkan kegopohan dan keculasan yang tinggi.

Sekiranya penjelasan yang cuba dilakukan oleh pihak Hakim pertandingan dalam mempertahankan tindakan mereka dilihat begitu dangkal dari segi hujah akademik dan intelektualnya, adakah pihak penganjur mengandaikan sebuah pertandingan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah yang masih diperingkat awal pembinaan kapasiti ilmu mampu untuk memberikan penghujahan yang adil dan tepat berdasarkan disiplin ilmu yang bersesuaian sementelah tajuk yang didebatkan tersebut bukanlah sebuah tajuk yang dibincangkan secara enteng oleh pakar yang berkaitan.

Justeru YADIM memandang serius tindakan yang seakan mengundang api kontroversi dan memalitkan nama Kementerian dan Kerajaan dalam isu yang tidak wajar ini. YADIM menggesa agar siasatan secara menyeluruh dilakukan dan satu garis panduan diwujudkan bagi penganjuran program debat agar ia tidak lagi menimbulkan isu-isu sensitif sebagaimana yang berlaku ini.

Semua pihak perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mendukung Islam sebagai agama persekutuan di negara ini serta memelihara hak semua agama lain di Malaysia dengan tidak menyentuh sebarang isu sensitif, hingga boleh mencetuskan perasaan tidak harmoni dalam masyarakat.

Pihak penganjur perlu lebih berhati hati dalam menganjurkan pertandingan seperti ini dengan memastikan tajuk yang dipilih perlu sesuai dalam konteks negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

YADIM percaya, Debat Piala Tun Razak yang sememangnya sudah mempunyai aura dan tarikannya mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.

DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN MEDIA DAN TEKNOLOGI DAKWAH YADIM
15 OKTOBER 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *