Home » Kenyataan Media » Belanjawan Rahmah Untuk Semua

Belanjawan Rahmah Untuk Semua

YADIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Persekutuan melalui YB Menteri Kewangan yang telah berjaya membentangkan Belanjawan 2020 pada hari Jumaat yang lalu. Sepertimana yang telah dirumuskan oleh YAB Perdana Menteri dalam reaksi segeranya, belanjawan tersebut telah memastikan setiap pihak mendapat bahagian masing-masing.

Secara keseluruhannya, belanjawan yang telah dibentangkan ini bukan sahaja “mesra rakyat/pengguna” dengan pelbagai insentif yang diberikan, belanjawan ini juga seperti mana yang disebutkan oleh Presiden Persatuan SME Malaysia, adalah belanjawan yang pertama kali memberikan hala tuju yang jelas kepada pihak Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Firma-firma perunding kewangan dan ekonomi yang terkemuka seperti Delloite, PwC dan Ernst & Young turut memberikan gambaran yang sangat positif terhadap belanjawan yang dibentangkan sepertimana yang disebutkan oleh Tax Leader EY bagi rantau Asia Pasifik dan ASEAN bahawa ““We believe Budget 2020 took courage, foresight and conviction. The Budget takes bold steps to reestablish Malaysia’s position as an Asian Tiger.”

YADIM melihat bahawa Belanjawan 2020 telah menyusun semula dasar dan hala tuju fiskal negara secara konstruktif.
Peningkatan peruntukan pembangunan kepada RM 56 billion dilihat sebagai langkah yang tepat lantaran kesan pengganda daripada peruntukan tersebut adalah lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara . Selain daripada itu usaha untuk mengekang peruntukan mengurus daripada terus membengkak juga melambangkan iltizam pihak Kerajaan dalam memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara berhemah.

Respon positif awal daripada pasaran juga dilihat menggalakkan dengan peningkatan 1.16% dalam Bursa Saham Kuala Lumpur seawal dibuka pada minggu ini dan pengukuhan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika.

Selain daripada struktur asas dan halatuju Belanjawan 2020 yang sangat objektif dan komprehensif, YADIM amat mengalu-alukan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan Islam di negara ini sentiasa mendapat tempat utama dalam perancangan pembangunan negara.

Peningkatan peruntukan secara konsisten sebanyak RM100 juta setiap tahun sejak kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan telah menyaksikan peruntukan pembangunan dan pengurusan Islam telah menjadi RM1.3 Billion bagi tahun 2020. Lebih menarik dari itu, peningkatan elaun Guru KAFA memperlihatkan usaha untuk memperkasakan perkhidmatan Guru KAFA menjadi salah satu agenda berterusan yang penting bagi pihak kerajaan selain daripada peruntukan khusus kepada sekolah agama, Maahad Tahfiz dan institusi pondok yang berjumlah antara RM25 juta hingga RM50 juta.

Tambah meyakinkan apabila RM10juta diperuntukkan bagi memperkasakan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang menjadi bukti bahawa gagasan besar ini bukanlah satu omongan kosong dan tohmahan bahawa kerajaan ini tidak mempedulikan agenda pembangunan Islam adalah meleset sama sekali.

YADIM yakin Belanjawan 2020 akan menjadi titik mula yang penting bagi kerajaan dalam memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama dapat direalisasikan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam secara khususnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.


DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN MEDIA DAN TEKNOLOGI DAKWAH YADIM         
15 OKTOBER 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *