IPOH: Umat Islam perlu bersabar dan bertenang bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil tindakan dan pendekatan melulu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berkaitan fatwa terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata ruang harus diberikan kepada badan berkuasa agama bagi membincangkan langkah susulan, memandangkan segala keputusan diambil tidak boleh terburu-buru dan mesti mengambil kira kajian serta penelitian daripada semua pihak.
Katanya, pendekatan awal kerajaan adalah membincangkan perkara itu ke mesyuarat yang disertai oleh semua agensi dan institusi agama di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) esok.
“Kita menghormati keputusan mahkamah dan kita perlu meneliti keputusan itu sebaiknya. Kita nampak maklum balas ramai pihak dan kita ingin menasihati kepada semua untuk bersabar dan tenang supaya tiada pihak yang mengambil pendekatan serta tindakan yang tidak baik.
“Kita mengambil kira semua aspek untuk memastikan institusi fatwa akan dipertahan dan diperkukuhkan lagi sebaiknya. Kita tunggu perbincangan esok antara semua agensi dan institusi agama di bawah JPM dan selepas itu akan dikemaskini dari masa ke semasa.
“Segala keputusan yang diambil tidak boleh terburu-buru. Ianya mesti mengambil kira kajian dan penelitian semua pihak,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Wacana Bergerak MADANI: Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil di Politeknik Ungku Omar, di sini semalam.
Program bertujuan mengetengahkan pemikiran tokoh intelektual Islam terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam membangunkan masyarakat MADANI yang progresif dan berintegriti itu.
Ia disertai lebih 300 peserta terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi, pendidik, penjawat awam dan aktivis masyarakat.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dikemukakan SIS Forum dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor.
Jawatankuasa itu sebelum ini mengisytiharkan pertubuhan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar yang dikeluar dan diwartakan 11 tahun lalu, sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan ‘orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang sebenar dan bukan orang buatan seperti syarikat.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kewujudan sedia ada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam membuatkan tiada keperluan bagi penggubalan akta baharu berkaitan kes yang semisal dengan SIS Forum itu.
“Kita sebenarnya sudah ada pun jawatankuasa khas itu yang mana kita ada satu kajian yang sangat menyeluruh.
“Saya percaya kajian itu juga melihat semua perkara ini dan kita tunggu ianya dibentangkan di dalam MKI (Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia).
“Dan kita tunggu juga pandangan-pandangan secara umum di samping kita meraikan kepelbagaian pandangan namun apa yang saya boleh rumuskan adalah kerajaan komited memastikan aspek Islam dan institusi fatwa dipertahan dan diperkukuhkan,” katanya.
KOMEN