Home » Langit Terbuka » Kerajaan akan bantu pusat tahfiz berisiko

Kerajaan akan bantu pusat tahfiz berisiko

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri untuk mengenal pasti pusat tahfiz berisiko di seluruh negara. - Foto Malay Mail

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membantu lebih 400 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara yang terdedah kepada risiko kebakaran menerusi peruntukan RM50 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengenal pasti pusat tahfiz berisiko berkenaan.

“Kita sudah dimaklumkan mengenai berita (pusat tahfiz berisiko) itu dan sebab itu dalam Belanjawan 2019 ada peruntukan RM50 juta khas untuk pusat tahfiz.

“Kita akan menggunakan peruntukan terbabit untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti infrastruktur, kebersihan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi ‘Townhall’ Maqasid Syariah peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini (23 April).

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendedahkan sebanyak 495 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara terdedah kepada risiko kebakaran kerana gagal mematuhi syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jumlah itu antara 1,267 pusat tahfiz berdaftar yang sudah menjalani pemeriksaan dengan baki 772 premis disahkan selamat.

Justeru, pihaknya menerusi JBPM memberi masa tiga bulan kepada pusat tahfiz terbabit untuk menyusun semula susun atur dalaman serta laluan kecemasan dalam bangunan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, peruntukan yang akan disalurkan kepada pusat tahfiz adalah berdasarkan keperluan serta projek yang akan dilaksanakan.

“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan isu keselamatan kerana tidak mahu pusat pembelajaran ini terdedah kepada risiko,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *