Home » Citra Yadim » Konvensyen Fiqh Ummah himpun tokoh pelbagai bidang

Konvensyen Fiqh Ummah himpun tokoh pelbagai bidang

Timbalan Yang Dipertua YADIM (tengah) ketika menerima taklimat berhubung pelaksanaan Konvensyen Fiqh Ummah

PUTRAJAYA – Sebuah program berjudul ‘Konvensyen Fiqh Ummah : Maqasid Syariah & Masa Depan Malaysia’ yang dicadangkan dianjurkan pada Julai nanti bakal membariskan tokoh tokoh ternama dalam pelbagai bidang, bagi membincang dan memperkasakan Maqasid Syariah.

Antara yang disenaraikan termasuklah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H, Prof Dato’ Dr Sidiq Fadzil, Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Johar dan Konsultan Syariah Telaga Biru, Ustaz Fawwaz Fadzil.

Turut disenaraikan antaranya ialah Pengarah Jabatan Latihan Darul Ifta’ Mesir, Syeikh Amr al Wirdany, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam, Dato’ Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz serta pakar Analisis Ekonomi  Mikro Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Madeline Berma.

Pemegang Amanah Yayasan Al Hikmah, Muhammad Suhaimi berkata, program tersebut kelak dirancang untuk diterajui oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan secara bersama dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta pihaknya.

“Kita harapkan supaya konvensyen ini nanti menjadi acara tahunan dan diadakan di beberapa zon seluruh negara. Sebagai permulaan, konvensyen yang pertama akan diadakan di Zon Tengah (sekitar Kuala Lumpur atau Putrajaya), dengan kehadiran sekitar 250 orang.

“Tema untuk kali yang pertama dicadangkan ‘Malaysia Baharu : Baldatun Tayyibatun Wa Rabbu Ghafur’,” katanya dalam sesi pertemuan dengan Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin di sini hari ini (23 April).

Hadir sama ialah wakil Bahagian Penyelarasan Badan Bukan Kerajaan dan Rakan Strategik YADIM, Zamani Mohd Karulani.

Timbalan Yang Dipertua YADIM (tengah) ketika menerima taklimat berhubung pelaksanaan Konvensyen Fiqh Ummah

Konvensyen tersebut yang memfokuskan pesertanya kepada cendekiawan, mahasiswa dan pembuat dasar disasarkan menjadi platform yang baik dan relevan bagi masyarakat umum, khususnya golongan muda bagi membudayakan pendekatan dialog harmoni dan pembugaran budaya ilmu.

Sekaligus kata Muhammad, konvensyen itu juga nanti boleh menjadi medan untuk masyarakat melontarkan idea kepada kerajaan bagi kebaikan ummah.

Tambah beliau, pihaknya turut mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam, Dato Dr Afifi al Akiti, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri serta Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz turut dilibatkan dalam program ini.

Sementara itu, Zolkharnain mencadangkan supaya konvensyen itu nanti turut melibatkan  badan badan bukan kerajaan (NGO) kerana mereka lebih dekat dengan masyarakat.

Jelasnya, kerana kerap melaksanakan program dengan masyarakat, NGO NGO ini lebih berakar dengan pelbagai lapisan umum.

“NGO NGO ini ada pengikut dan crowd sendiri, justeru dapat tarik lebih ramai orang ke konvensyen ini,” ujarnya.

Menurutnya, satu mesyuarat susulan berhubung pelaksanaan konvensyen akan diadakan dan tugas pertama ketika ini ialah penubuhan jawatankuasa induk.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *