Home » Langit Terbuka » Kerajaan akan putuskan penganjuran sambutan Maal Hijrah dalam masa terdekat

Kerajaan akan putuskan penganjuran sambutan Maal Hijrah dalam masa terdekat

Keputusan sama ada untuk meneruskan sambutan Maal Hijrah tahun ini akan ditentukan tidak lama lagi. - Foto Flickr

NILAI – Kerajaan akan membuat keputusan sama ada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020 dilaksanakan atau sebaliknya susulan masih terdapat penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan mengenai perkara itu kini di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan kelak.

“Caranya mungkin kita hadkan peserta yang amat minimum, masa yang terhad, tetapi kita nak syiar tentang majlis Maal Hijrah kita akan dapat teruskan.

“Walaupun berskala kecil, tetapi memberi makna yang besar kepada ummah insha-Allah,” katanya.

Tambah beliau sambutan Maal Hijrah yang dijadual pada 20 Ogos ini merupakan program kebesaran umat Islam dan Zulkifli berharap ia dapat diadakan walaupun dalam skala yang kecil mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Zulkifli berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam Di Malaysia, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Penganjuran seminar itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat dan kajian berkaitan pengurusan hal ehwal Islam bagi menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *