Home » Langit Terbuka » Kerajaan lancar MYHaus, Ogos ini

Kerajaan lancar MYHaus, Ogos ini

MYHaus akan dikelaskan dalam beberapa kategori sama ada untuk membina semula rumah, membaik pulih serta membaiki kerosakan yang dialami, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto NSTP

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melancarkan program MYHaus, bagi membantu kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, program yang akan dilancarkan Ogos depan itu, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar.

Katanya, menerusi program berkenaan ia akan dikelaskan dalam beberapa kategori sama ada untuk membina semula rumah, membaik pulih serta membaiki kerosakan yang dialami.

“Semua baik pulih atau bina semula rumah akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada 10 hari.

“Pada masa sama, melalui program MYHaus juga kita akan memberikan pendidikan rohani serta kesedaran sivik kepada isi rumah supaya pembangunan yang seimbang dapat dikecapi.

“Selain pembinaan rumah, isu seperti kebersihan, pendidikan seks menurut Islam dan aktiviti kerohanian adalah keutamaan program terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena 100 hari memegang jawatan sebagai Menteri di JPM, di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya, hari ini (17 Jun).

Mengulas mengenai pencapaian 100 hari beliau, Zulkifli berkata, pihaknya sudah menggerakkan usaha kebajikan melalui #MusaadahCOVID19 bagi membantu masyarakat dalam memerangi pandemik di negara ini.

“Melalui #MusaadahCOVID19, kita sudah menyalurkan sumbangan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan dengan perbelanjaan RM196.3 juta.

“Sejak 18 Mac lalu, kita sudah menjelajah dari Perlis hingga ke Sabah bagi menyalurkan pelbagai sumbangan mengikut kemampuan kami,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut memperuntukkan RM5.3 juta bagi melaksanakan program Pembiayaan Mikro iTekad iaitu dari segi kewangan sosial.

Katanya, program berkenaan bagi membantu memudahkan usahawan mikro B40 dan asnaf yang hilang punca pendapatan serta perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

Ditanya mengenai cabarannya sepanjang tempoh itu, Zulkifli berkata, beliau tidak menghadapi sebarang cabaran melainkan ada sedikit kekangan masa untuk melakukan semua program yang dirancang olehnya.

“Cabaran, tak besar. Cuma (mempunyai kekangan) masa untuk uruskan (perancangan) secara pantas, cekap dan impak tinggi kepada ummah,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *