MELAKA: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM24 juta untuk tahun ini bagi tujuan pembangunan Islam di Melaka dalam usaha memperkasakan institusi agama serta kebajikan umat.
Peruntukan itu membabitkan sumbangan membiayai sebahagian bayaran elaun untuk imam, bilal, siak, guru takmir serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM18.6 juta.
Peruntukan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada lawatan kerjanya ke negeri ini, kelmarin.
Yang turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee serta Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamed.
Dalam kenyataannya, Mohd Na’im, berkata pada lawatan itu itu beliau turut menyampaikan bantuan masing-masing RM1 juta bagi membina Masjid Pulau Besar dan Maahad Tahfiz Bistari yang akan dibangunkan di Melaka, selain pembayaran zakat perniagaan TH berjumlah RM3,305,871.86.
“Alhamdulillah, saya menyerahkan beberapa bentuk sumbangan penting yang mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa institusi Islam dan kebajikan umat.
“Secara keseluruhannya, sumbangan yang dibawa ke Melaka mencecah lebih RM24 juta. Ini semua adalah usaha berterusan kita untuk memperkukuh pembangunan Islam secara menyeluruh, seiring dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.
Mohd Na’im turut mengadakan lawatan ke Surau Al-Munawwarah di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, Jasin serta menyampaikan sumbangan seperti al-Quran, buku agama terbitan JAKIM serta kelengkapan komputer riba.
“Lawatan seperti ini akan terus diperkasa supaya dasar kerajaan, terutamanya yang bersifat MADANI benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Justeru, saya berterima kasih kepada kerajaan Melaka, JAKIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), TH, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Taqwa serta semua pihak yang menjayakan lawatan itu,” katanya.
KOMEN