Home » Langit Terbuka » Kerajaan peruntuk RM20 juta untuk inovasi ekonomi Islam

Kerajaan peruntuk RM20 juta untuk inovasi ekonomi Islam

Pelbagai inisiatif dibentangkan untuk inovasi Islam dalam Belanjawan Madani 2024 oleh Perdana Menteri. - Foto mStar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan RM20 juta bagi merancakkan kajian dan kreativiti serta inovasi ekonomi Islam bagi mendalami nilai universal ekonomi Islam dan pengalamannya dalam konteks semasa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu akan diterajui Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan pembabitan bersama Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan industri.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, Anwar berkata kerajaan mencadangkan untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying (ISSB) mulai tahun taksiran 2024.

Anwar berkata, ia bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui pembabitan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB, selain memastikan layanan setara yang diberikan bagi transaksi Securities Borrowing and Lending (SBL).

Beliau berkata, bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah, kerajaan turut bercadang mengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam mulai tahun taksiran 2024.

Katanya, penganjuran Malaysia International Halal Showcase Ke-19 pada bulan lalu sudah merekodkan jualan produk halal mencecah RM3 bilion iaitu 24 peratus lebih tinggi daripada sasaran.

“Pameran halal terbesar dunia ini memadankan 469 syarikat tempatan dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 negara.

“Selaras Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada KDNK menjelang 2030, sembilan institusi kewangan menawarkan program khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya.

“Selain itu, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 kepada 30 hari. Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal,” katanya.

Anwar berkata, program kewangan sosial i-TEKAD yang dilancarkan sebelum ini sudah memanfaatkan hampir 4,000 usahawan mikro dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh 12 institusi kewangan.

Oleh itu, katanya kerajaan memperuntukkan dana tambahan sehingga RM25 juta ringgit secara geran padanan dengan institusi kewangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menyediakan RM200 juta pada April lalu untuk membangunkan semula tanah wakaf di Pulau Pinang secara pinjaman mudah.

Beliau berkata, pada tahun hadapan, kerajaan akan meningkatkan dana kepada RM500 jutauntuk pinjaman mudah bagi meningkatkan pembangunan semula tanah wakaf di seluruh negara.

Sementara itu, Anwar berkata, bidang kewangan Islam memberikan suatu kaedah perbankan moden tanpa riba sejak empat dekad lalu, namun perkembangan ini tidak harus terhenti setakat itu sahaja.

Beliau berkata, hala tuju ekonomi Islam harus ditetapkan supaya mampu menjayakan hasrat objektif Islam yang lebih luas, termasuk menangani jurang antara amalan ekonomi yang selaras dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.

Bagi matlamat itu, Anwar berkata Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) akan dianjurkan pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan ini sebagai usaha mempelopori peralihan kepada sistem kewangan Islam yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, persidangan itu akan menghimpunkan lebih 400 pemikir dan teknokrat bidang kewangan Islam membabitkan hampir 100 kertas pembentangan bagi mengupas isu serta tindakan yang boleh diambil dalam memartabatkan kewangan Islam.

“Pelarasan semula sistem kewangan Islam adalah perlu dalam usaha memperkasa impak sektor kewangan Islam supaya berpeluang memberikan kesaksamaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

“Melalui Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai atau Value-based Intermediation (VBI), bank Islam dan pengendali takaful mampu menerokai inovasi berimpak menerusi penawaran pelbagai jenis modal yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat khususnya mereka yang terpisah daripada akses kepada perkhidmatan kewangan.

“BNM dan institusi kewangan Islam juga sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui Akaun Pelaburan atau Investment Account (IA) yang lebih meluas,” katanya.

“Usaha ini menggabungkan elemen perkongsian risiko antara pelabur dalam pelaburan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan juga elemen pelaburan sosial iaitu sebahagian keuntungan akan disalurkan untuk pembangunan sosial seperti pembiayaan pendidikan golongan miskin.

“Alhamdulillah, Malaysia kekal pada kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk 10 tahun berturut-turut.

“Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *