Home » Langit Terbuka » Kerajaan tidak lepas tangan bantu institusi pendidikan Islam

Kerajaan tidak lepas tangan bantu institusi pendidikan Islam

Pada 2021, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta secara one-off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam. - Foto MAIWP

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerima sejumlah 1,600 permohonan Bantuan Khas Impak Pandemik Covid-19 daripada institusi pendidikan Islam, sehingga 26 Oktober tahun ini.

Menterinya, Idris Ahmad berkata, permohonan itu membabitkan 1,276 premis berdaftar termasuk 141 pondok, 803 tahfiz, 205 sekolah agama rakyat dan 127 sekolah agama swasta.

Menurutnya, ia juga membabitkan 39 premis berkaitan yang dalam proses pendaftaran serta 324 lagi tidak berdaftar.

“Pada 2021, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta secara one-off bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok.

“Sehingga Ogos lalu, sebanyak RM60 juta sudah disalurkan kepada 1,066 institusi yang layak dan daripada jumlah itu sebanyak RM22.2 juta disalurkan kepada 413 institusi tahfiz dan RM5.03 juta diagihkan kepada 95 pondok di seluruh negara,” katanya pada 28 Oktober.

Idris berkata, kerajaan amat prihatin untuk membantu pengurusan dan pengoperasian tahfiz yang terjejas.

“Bagi tujuan itu, kerajaan sudah bersetuju untuk mengagihkan sebahagian daripada baki RM40 juta yang sudah diterima oleh Jakim pada 4 Oktober lalu.

“Pada 2020, sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan bagi tujuan yang sama. Daripada jumlah itu, sebanyak RM18.6 juta diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Impak Pandemik Covid-19 secara one-off.

“Ia merangkumi bantuan sara hidup berjumlah RM800 seorang kepada guru-guru warganegara di institusi pendidikan Islam berdaftar termasuk guru di institusi tahfiz dan bantuan pengurusan operasi dengan peruntukan RM10 per murid warganegara bagi tujuan pengurusan institusi berkenaan,” katanya.

Katanya, peruntukan sebanyak RM39.9 juta pada tahun lalu memberi manfaat kepada 1,667 tahfiz, manakala 339 pondok pula menerima peruntukan berjumlah RM11.02 juta. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *