Home » Langit Terbuka » Kes tembakan di Christchurch: Jangan buat sebarang spekulasi

Kes tembakan di Christchurch: Jangan buat sebarang spekulasi

Wisma Putra memohon pengertian daripada orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menghormati perasaan ahli keluarga mangsa pada saat sukar ini. - Foto hiasan NDTV

PUTRAJAYA – Kementerian Luar menasihatkan pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin mengenai status rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kes tembakan di Christchurch, New Zealand.

Menurut Wisma Putra, sehingga pukul 4 petang tadi (19 Mac) (9 malam waktu New Zeland), polis New Zealand mengumumkan bahawa proses bedah siasat ke atas 50 mangsa telah selesai dijalankan.

Jelasnya, identiti 12 mangsa telah dikenal pasti dan enam daripada mereka telah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Polis New Zealand telah menyatakan dengan jelas proses pendedahkan nama-nama mangsa kepada umum.

“Selepas keluarga mangsa dimaklumkan, polis akan menyalurkan maklumat kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Luar New Zealand (MFAT).

MFAT kemudiannya akan menyerahkan maklumat tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi atau kedutaan-kedutaan berkenaan.

“Maklumat itu akan dihebahkan oleh polis New Zealand kepada umum melalui sistem medianya,” jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Wisma Putra memohon pengertian daripada pihak media dan masyarakat agar menghormati perasaan ahli keluarga mangsa pada saat sukar ini.

“Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan melakukan yang terbaik dalam membantu mangsa-mangsa dan keluarga mereka,” jelas Wisma Putra.

Dalam kejadian Jumaat lalu, umat Islam di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand ditembak secara rambang.

Insiden tersebut menyebabkan 50 maut manakala 48 cedera parah setakat dilaporkan semalam.

Turut cedera tiga rakyat Malaysia dan seorang lagi diklasifikasikan sebagai masih hilang. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *