TEMERLOH – Dunia hari ini bukan sekadar mencabar anak-anak daripada segi pergaulan dan keselamatan fizikal, malah alam maya pula wujud risiko pornografi, penipuan, jenayah siber dan penyalahgunaan maklumat peribadi yang perlu mereka kenali sejak awal.
Atas kesedaran itu, dianjurkan Program Perisai Dunia Si Cilik (PeDuLi) 2.0 di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya, Temerloh, yang disertai 40 kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun pada 12 September.
Program anjuran bersama Malaysians Against Pornography (MAP), IKRAM dan pihak masjid dengan kerjasama YADIM Negeri Pahang ini membawa pendekatan mesra kanak-kanak supaya bukan sekadar mendengar ceramah, tetapi mengenali situasi berisiko, membuat pertimbangan dan belajar bagaimana untuk bertindak apabila berdepan perkara yang tidak selamat.
Antara pengisian yang dibawa termasuk penerangan mengenai Akil Baligh, Sentuhan Selamat dan Tidak Selamat, Bijak Siber, Bahaya Pornografi, Pendidikan Rahsia Peribadi serta aktiviti ExplorRace. Peserta turut didedahkan dengan aspek pencegahan jenayah siber oleh wakil Kementerian Dalam Negeri, khususnya berkaitan keselamatan maklumat peribadi dan penggunaan internet.
Penolong Pengarah (DMY) YADIM Negeri Pahang, Daie Muda YADIM Badrul Faiz Zulkifli, turut menyantuni peserta dengan perkongsian mengenai jati diri, pergaulan dan penggunaan teknologi secara berhemah.
Turut terlibat ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi MAP Malaysia, Dr. Bisya Fathamah Uzir dan Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah merangkap Pengerusi MAP Pahang, Puan Faradila Naim.



KOMEN