Komited sokong usaha martabat institusi kehakiman

0
344
Perdana Menteri ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 di Hotel Movenpick. - Foto Facebook

SEPANG – Kerajaan Perikatan Nasional komited untuk menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mahkamah syariah adalah institusi kehakiman dan perundangan syariah yang mendokong Syiar Islam dan disebabkan itu ia harus dipertahan serta diperkasakan dari semasa ke semasa.

“Ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidangkuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.

- advertisement -

“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 di Hotel Movenpick, di sini pada 29 September.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, di peringkat serantau, beliau berharap agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu forum yang berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi kehakiman syariah yang boleh dikongsi dengan negara-negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Jelasnya, melalui forum itu, perbincangan ilmiah mengenai fungsi Maqasid Syariah di negara-negara serantau dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.

“Pada masa yang sama saya sedar bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam.

“Walau bagaimanapun, anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti.

“Insya-Allah, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya. – MalaysiaGazette

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here