Home » Langit Terbuka » Maqasid syariah jadi prinsip panduan usaha lawan COVID-19

Maqasid syariah jadi prinsip panduan usaha lawan COVID-19

Perdana Menteri berkata, pemeliharaan agama menjadi satu topik penting dibincangkan oleh kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP. - Foto Hiasan Perdana Putra. NSTP

SEPANG – Maqasid syariah menjadi prinsip panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik COVID-19, biarpun pada zahirnya ia tidak diuar-uarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri berkata, tema ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara daripada ancaman wabak COVID-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas ia terjejas susulan serangan wabak itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, bagi umat Islam negara ini, pandemik COVID-19 menginsafkan dalam banyak aspek.

“Atas semangat ‘Malaysia Prihatin’, kerajaan sudah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

“Sehinggalah pada saat ini, kita masih lagi berada dalam fasa PKP pemulihan untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak COVID-19.

“Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik Covid 19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan PKP adalah hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah.

“Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020, di sini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Program berkenaan turut disertai secara dalam talian oleh Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar; Presiden Kanan (Mahkamah Syariah) Singapura, Alfian Yasrif Kuchit, dan Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia, Dr Drs Amran Suadi.

Muhyiddin berkata, sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan perintah berkurung, banyak urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

Muhyiddin berkata, pemeliharaan agama juga menjadi satu topik penting dibincangkan oleh kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP yang mewujudkan satu norma baharu dalam kehidupan umat Islam.

Beliau berkata, antara norma baharu itu termasuklah solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara yang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Di peringkat awal, kita terpaksa menutup masjid dan surau untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat. Solat Jumaat juga tidak diadakan untuk beberapa ketika demi untuk memelihara nyawa rakyat.

“Alhamdulillah, pada hari ini masjid dan surau dibuka atas sebab kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalankan ibadah yang merupakan sebahagian daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama.

“Namun, prinsip ini diseimbangkan dengan prinsip hifzu al-nafs atau memelihara nyawa. Kerana itu, walaupun masjid dan surau sudah dibuka dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan, jemaah mesti mengamalkan norma baharu,” katanya.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan umat Islam yang beribadah di masjid tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang mengancam nyawa.

Katanya, perkara itu dibincang secara terperinci dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai COVID-19 yang dipengerusikannya, yang turut dianggotai Zulkifli, yang menasihati kerajaan dalam hal ehwal hukum syarak dan Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang memberi nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan.

“Alhamdulillah, saya dapat melihat bagaimana dua prinsip utama Maqasid Syari’ah iaitu memelihara agama dan memelihara nyawa dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha melindungi rakyat daripada ancaman COVID-19,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *