Home » Citra Yadim » Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara

Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara

PUTRAJAYA 1 Ogos – Majlis Dakwah Negara (MDN) akan menganjurkan Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara bertemakan  Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat pada 5 dan 6 Ogos ini bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.

Konvensyen ini dijadualkan dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang turut akan menyampaikan titah diraja.

Pada hari pertama konvensyen, selepas majlis perasmian akan diadakan Sesi Penyampaian dan Dialog bertajuk “Menyurat Wasiat Yang Tersirat” dengan dipengerusikan oleh Pensyarah, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia, Sarawak, Prof Madya Dr Neilson Ilan Mersat.

Panelis dan tajuk di bawah sesi ini adalah `Menyusur Akar Wasiat 7’ oleh  Pengurus Besar, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dr Mohd Fauzi Shaffie, `Tanah Tanah Sebagai Modal Kesinambungan Kedaulatan Raja dan Negara’ oleh Mantan, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan, Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof, Pendidikan Sebagai Penerus Kecemerlangan Negara oleh Pengerusi, Lembaga Yayasan Amanah, Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar dan Bahasa Melayu Wasilah Perpaduan oleh  Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof.  Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Sesi kedua konvensyen akan diadakan sebelah malam dalam bentuk bengkel bagi membincangkan Titah DiRaja dan Menyurat Wasiat Yang Tersirat.

Bengkel ini akan disertai oleh tokoh-tokoh terkemuka iaitu Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Hj Abdul Rahman Arshad, Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang, Tan Sri Dato’ Mohd Yusof Hitam, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Datuk Che Yazid Che Seman @Yazid Othman.

Hari kedua konvensyen akan dimulakan dengan sesi ketiga bertajuk Perlembagaan Malaysia : Peranan Dan Bidang Kuasa Raja-Raja yang dipengeruskan oleh Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini.

Panelis dalam sesi ini terdiri daripada Pengerusi, PPPU-MDN, Tan Sri Dato’ Indera Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, Pensyarah, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Maalysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Abd. Aziz.

Konvensyen akan diteruskan dengan sesi keempat bertajuk Institusi Raja Sebagai Pasak Negara dan ia akan dipengerusikan oleh Prof Dato’ Wira Dr Ismail Ibrahim.

Barisan panelis untuk sesi ini ialah Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia merangkap Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Bin Yatim, President Of The Institute For Democracy And Economic Affairs (IDEAS), Malaysia, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka, Prof Dato’ Dr Firdaus Abdullah dan  Ketua Lajnah Kajian Strategik, Majlis Ittihad Ummah, Datuk Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain.

Konvensyen kemudiannya diteruskan dengan sesi 5 bengkel 2 bertajuk Perlembagaan Malaysia: Peranan Dan Bidang Kuasa Raja-Raja & Institusi Raja Sebagai Pasak Negara.

Sesi terakhir konvensyen adalah sidang rumusan dan resolusi yang dimulakan oleh pembentangan rumusan konvensyen oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, selaku Pengarah Konvensyen dan diikuti dengan bacaan resolusi oleh Tan Sri Dato’ Dr Nordin Kardi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembentangan.

Seterusnya diadakan majlis penyerahan Resolusi kepada kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja dan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengerusi MDN Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid.

 

  1. LATAR BELAKANG KONVENSYEN

Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Tersurat ini adalah satu Konvensyen anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU)-Majlis Dakwah Negara, sebuah Panel Perunding yang ditubuhkan dengan objektif mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia umumnya. Konvensyen seumpama ini julung-julung kali dianjurkan dengan hasrat membuka ruang wacana tentang peranan institusi raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara, berperanan sebagai payung penyatuan dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

 

1.1 Rasional Penganjuran

 

Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara ini dianjurkan dengan mengambil kira bahawa institusi raja merupakan pasak yang menunjangi kedaulatan, keutuhan, kestabilan dan kesejahteraan negara. Ia juga mengambil kira bahawa institusi raja merupakan institusi utama warisan  negara yang menjadi rujukan dan harapan rakyat dalam pelbagai aspek dan dalam pelbagai keadaan kehidupan.

Sejak sekian lama, telah terbukti dalam sejarah bahawa institusi raja berupaya memenuhi peranan sebagai instrumen penyatuan dan perpaduan rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, budaya, kaum dan negeri, dapat hidup secara harmoni serta saling hormat menghormati antara satu sama lain, memungkinkan sistem kerajaan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan dapat berfungsi secara adil dan saksama dan rakyat menikmati kemakmuran ekonomi negara.

Malaysia merupakan kesinambungan kepada Kesultanan Melaka yang pernah menyinari alam Nusantara sepanjang kurun ke 15, malah walau pernah diganggu dan digugat oleh lima episod penjajahan selama 446 tahun, sistem beraja terus kekal utuh hingga ke hari ini.

Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan seterusnya membentuk Malaysia pada tahun 1963, peranan institusi raja sebagai pasak negara tidak pernah luntur. Kebijaksanaan raja-raja menerima dan mengadaptasi konsep raja berperlembagaan dengan kuasa yang dimaktubkan dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan telah menjadikan institusi raja begitu stabil dan dinamik untuk digandingkan dengan kerajaan demokrasi pilihan rakyat.

Kovensyen ini dianjurkan bagi menyerlahkan manisfestasi peranan institusi raja, termasuk Majlis Raja-Raja (Perkara 38)  dengan mengambil kira lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan negara. Ini termasuk hal berkaitan pasak kedaulatan dan kesejahteraan negara,  perpaduan rakyat dan umat Islam, kedudukan agama Islam sebagai agama negara (Perkara 3), institusi pendidikan Islam (Perkara 12(3), keistimewaan Melayu dan kepentingan sah komuniti lain (Perkara 153) kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), keadaan ekonomi negara dan umat Islam termasuk tanah rizab Melayu (Perkara 89) serta kedudukan masyarakat anak negeri (153 dan 161).

Dari sinilah rumusan boleh dibuat bahawa institusi raja-raja Melayu merupakan institusi berdaulat yang menjadi pasak kepada keutuhan sistem negara ini, dan seterusnya menjadi kubu terakhir kepada keharmonian warga serta kestabilan negara.

Maka ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke arah Wasiat Lebih Tersurat’ secara luhurnya adalah untuk mencari formula baharu, demi membina semangat baharu dalam memacu negara menghadapi zaman kini yang kian mencabar.

 

  1. 2. OBJEKTIF KONVENSYEN

 

Konvensyen ini bertujuan mencapai objektif-objektif berikut:

 

  1. Menegaskan kefahaman tentang konsep dan kedaulatan Raja di Malaysia.

 

  1. Menjana idea bagi memantapkan keberkesanan peranan Institusi Raja dalam pembangunan dan peradaban negara.

 

  1. Memperkukuh Institusi Raja-raja Melayu sebagai pasak negara.

 

 

  1. 3. SASARAN PESERTA

 

Konvensyen mensasarkan 300 orang peserta dari seluruh negara, daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, usia dan profesion yang terdiri daripada :

 

  1. Jabatan dan agensi kerajaan
  2. Swasta
  • Badan Bukan Kerajaan
  1. Pemimpin masyarakat dan pesara
  2. Belia dan Pelajar
  3. Majlis Agama Islam Negeri
  • Badan/ Lembaga/ Majlis/ Dewan Penasihat Raja/ Sultan di Negeri-Negeri
  • Ahli-ahli Akademik
  1. Media
  2. Tokoh/ Individu perseorangan

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *