Home » Citra Yadim » Konvensyen perkukuh Pasak Negara terangkan peranan institusi Raja pada 5 & 6 Ogos

Konvensyen perkukuh Pasak Negara terangkan peranan institusi Raja pada 5 & 6 Ogos

PUTRAJAYA 1 Ogos – Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara anjuran Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU) Majlis Dakwah Negara (MDN) pada Sabtu dan Ahad ini adalah inisiatif bagi memperkukuhkan perpaduan rakyat di bawah payung institusi beraja.

Konvensyen itu julung kali diadakan bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai peranan institusi raja yang merupakan pasak menunjangi kedaulatan, keutuhan, kestabilan dan kesejahteraan negara melalui Majlis Raja-Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi MDN Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata konvensyen itu akan menonjolkan peranan institusi raja yang merupakan asas utama negara yang menjadi rujukan dan harapan rakyat dalam pelbagai aspek dan isu.

“Tanpa pasak (institusi beraja) itu, mungkin rakyat tidak boleh hidup secara harmoni sekali gus tidak memungkinkan menikmati kemakmuran seperti hari ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata konvensyen di Hotel Marriot itu akan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan baginda dijangka menyampaikan titah diraja dalam wacana tersebut.

Katanya, tiga dialog dan dua bengkel merupakan pengisian sepanjang program dua hari itu membabitkan ahli akademik, pakar undang-undang dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Antara dialog bakal menjadi tumpuan adalah ketika hari pertama iaitu forum ‘Menyurat Wasiat Yang Tersirat’ dengan menyentuh Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang kini masih kurang difahami oleh segelintir masyarakat walaupun orang Melayu sendiri,” katanya.

“Pada hari terakhir konvensyen ini, kami akan membuat rumusan dan resolusi dengan kemudiannya diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja untuk perhatian Duli-Duli Tuanku.

“Kami berharap program ini dapat mencari formula baharu dalam memacu negara di bawah pasak institusi beraja ketika zaman kini yang kian mencabar,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *