Home » Langit Terbuka » Suarakan pandangan secara bijaksana – MDN

Suarakan pandangan secara bijaksana – MDN

PUTRAJAYA, 1 Ogos -- Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid semasa sidang media mengenai Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA ?

PUTRAJAYA 1 Ogos –  Keputusan mahkamah berhubung isu nama Abdullah dikekalkan sebagai bin atau binti bagi anak tidak sah taraf, bukan sesuatu yang muktamad dan rakyat boleh mencadangkan kerajaan meminda undang-undang berkaitan.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata kerajaan boleh menggubal akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada, sekiranya terdapat kelemahan atau tidak bersesuaian dengan keadaan semasa masyarakat.

Jelas beliau, pelbagai pihak memberi pandangan yang berbeza berhubung isu berkenaan, namun MDN berpandangan ia perlu disuarakan secara bijaksana supaya tidak menyentuh sensitiviti pihak terbabit di kemudian hari.

“Pada masa ini, MDN mengambil sikap pandang dan lihat kerana isu ini masih hangat dibincangkan dan apabila ia reda, pihak kami akan cuba memberi pandangan yang bersesuaian,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat MDN, Datuk Dr Mohd Ghazali Md Noor dan Pengerusi Media MDN, Datuk Yazid Othman.

Konvensyen julung kali pada 5 hingga 6 Ogos 2017 di Hotel Marriot Putrajaya itu dianjurkan Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU) MDN.

Konvensyen yang akan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu bertujuan membuka ruang wacana berhubung peranan institusi raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dijangka dihadiri 300 peserta dari kalangan akademik dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Baru-baru ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu-bapanya, berpendirian anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Bagaimanapun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pula memutuskan anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak berkenaan.

Mahmood Zuhdi berkata, beliau tidak menumpukan perhatian kepada keputusan mahkamah, sebaliknya lebih risau kepada penerimaan rakyat berhubung penerimaan keputusan itu kerana pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan berbeza yang didorong emosi tanpa mengambil kira pandangan pihak bertanggungjawab.

Beliau juga kesal kerana sebahagian besar kenyataan yang dibuat tidak membantu pihak terbabit, malah perbuatan mereka tidak menampakkan usaha untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini.

“Kami rasa belum sampai waktunya pihak MDN mencampuri masalah ini dan apa yang lebih penting, masalah ini perlu dilihat dari semua aspek kerana pengajian Islam merangkumi aspek perundangan serta fatwa yang perlu dilihat serta dikaji sebelum mencapai sesuatu keputusan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *