Home » Langit Terbuka » KPM nafi keluarkan lima hadis modul Hadis 40 Imam Nawawi

KPM nafi keluarkan lima hadis modul Hadis 40 Imam Nawawi

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan sekerasnya dakwaan mengeluarkan lima hadis daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya kini masih dalam proses bagi memuktamadkan hadis modul tersebut.

“Ruang perlu diberikan kepada KPM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperhalusi perkara itu secara terperinci. Ini kerana kita mahu modul itu akan berjaya dilaksanakan untuk anak-anak Muslim dan sekolah agama di seluruh negara.

“Setakat ini perkara itu (lima hadis dikeluarkan) tidak betul dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika ditemui selepas program Town Hall Rakyat di Kompleks Karangkraf.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy dilaporkan mendakwa KPM mengeluarkan lima hadis. 

Antara yang didakwa dikeluarkan termasuk hadis kelapan iaitu perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk memerangi manusia yang belum bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah sehingga mereka menerima Islam, mendirikan solat dan membayar zakat.

Pada 19 Ogos lalu, Fadhlina melancarkan modul itu yang akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.

Ia menimbulkan bantahan banyak pihak termasuk ahli politik dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) yang bimbang kemungkinan pelajar bukan Islam turut perlu mempelajari modul itu.

Bagaimanapun projek rintis itu hanya melibatkan guru dan murid beragama Islam yang disifatkan signifikan bagi menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan ada hadis digugurkan, Fadhlina berkata, pihaknya masih dalam proses memuktamadkannya.

“Namanya juga adalah modul atau penghayatan dan kita perlu menelitinya secara menyeluruh. Kami sedang memuktamadkan dan tunggu pengumuman mengenainya nanti,” ujarnya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *