JOHOR BAHRU – YADIM Negeri Johor meneruskan siri libat urus bersama Kerajaan Negeri Johor menerusi kunjung hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, pada 3 Ogos.
Pertemuan tersebut memfokuskan kepada penyelarasan agenda dakwah negeri, cadangan program bersama serta persiapan pelaksanaan Program Dakwah Negara (PDN) 2026.
Delegasi YADIM Negeri Johor diketuai oleh Pengarahnya, Ustaz Muhamad Ammar Abdullah, bersama pegawai beliau, Encik Mohd Ridzuan Shaban dan Encik Shahrizan Hassan.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh bermakna ini menjadi medan perbincangan bagi menyelaras gerak kerja dakwah, memperkukuh kerjasama strategik antara institusi serta merancang pelaksanaan pelbagai program keagamaan yang memberi manfaat kepada masyarakat di Negeri Johor.
Selain bertukar pandangan mengenai inisiatif dakwah semasa, pertemuan ini turut menzahirkan komitmen bersama dalam memperkasakan program-program yang mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat secara lebih bersepadu, inklusif dan berimpak.
YADIM Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Mohd Fared Mohd Khalid atas kesudian menerima kunjungan hormat ini. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkasakan demi mengukuhkan syiar Islam, memperluaskan manfaat dakwah serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor.



KOMEN