YADIM telah diundang untuk bekerjasama dalam bidang dakwah, khususnya menggunakan kecerdasan buatan (AI), bersama Universitas Muslim Indonesia (UMI) bagi mengembangkan pendekatan dakwah digital yang lebih berkesan dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat serantau.
Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, latihan dan pendakwah antara keduanya sebagai usaha memperkasa penggunaan AI untuk memperluas capaian dakwah rentas sempadan, sesuai dengan kehendak zaman.
Hasrat ini disampaikan UMI dalam satu kunjung hormat kepada Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom di pejabat beliau di Putrajaya pada 29 Julai. Selain dakwah, pelbagai lagi ruang kerjasama juga disentuh dalam pertemuan ini.
Delegasi lapan orang wakil UMI ini telah disertai seramai empat orang lagi daripada Bupati Luwu Timur yang turut menyatakan minat bagi menjalin kerjasama dengan badan dakwah ini.
Datuk Dr. Hasan dalam reaksinya menyambut baik pelawaan oleh UMI itu yang menurutnya amat bertepatan dengan keperluan dakwah yang seharusnya seiring dengan kehendak semasa.
Menurut beliau, dakwah menggunakan teknologi (dakwah bil siber) kini merupakan satu keperluan yang mesti digunakan sebaiknya jika mahu usaha tersebut memberi impak kepada golongan sasaran.
Katanya lagi bagi tujuan itu, Daie YADIM boleh bekerjasama dengan pendakwah antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan negara-negara serantau.
Sementara itu, senada dengan Yang Dipertua YADIM, Ahli Lembaga Pemegang Amanah badan dakwah ini, Profesor Ts Dr. Zuraiati Ahmad Zukarnain yang turut hadir telah mencadangkan YADIM dan UMI mengadakan seminar AI bagi mengembangkan perkongsian ilmu antara kedua pihak dalam pelbagai bidang.
UMI telah diketuai Ketua Pembina Yayasan Wakaf UMI, Prof. Dr. H. Mansyur Ramly, SE., MS dalam pertemuan ini sementara Bupati Luwu Timur diketuai oleh Ir. H. Irwan Bachri Syam, ST, IPM.
Turut hadir ialah empat wakil daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku pemudah cara diketuai oleh Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali. Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Encik Ahmad Saparudin Yusup juga telah terlibat sama.



KOMEN