Home » Langit Terbuka » Kuota haji, umrah antara perkara akan dibincangkan Malaysia-Arab Saudi

Kuota haji, umrah antara perkara akan dibincangkan Malaysia-Arab Saudi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bantuan kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Malaysia yang daif dan kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah, akan turut dibincangkan. - Foto AlHijrah News

KUALA LUMPUR – Kuota haji tahun depan untuk rakyat negara ini ialah antara perkara akan dibincangkan menerusi Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi Malaysia-Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata perkara lain akan turut dibincangkan ialah jumlah rakyat Malaysia dibenar mengerjakan umrah apabila Kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan semula ibadat itu kelak.

“Sebentar tadi, saya menerima pelawaan (Menteri Luar) Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang ingin mendapatkan pandangan saya berhubung Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi bagi memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, saya dan Hishammuddin senada bahawa banyak usaha sama boleh dilaksanakan menerusi jawatankuasa ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada 21 Oktober.

Media sebelum ini melaporkan Hishammuddin berkata, Malaysia dan Arab Saudi mencapai persetujuan menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang menyentuh kepentingan bersama.

Jawatankuasa strategik dua negara itu akan dipengerusikan oleh Hishammuddin dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, bantuan Kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Malaysia yang daif dan kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah, akan turut dibincangkan melalui jawatankuasa itu.

“Perkara lain mencakupi kerjasama pendidikan dan penyelidikan, khususnya berkaitan keagamaan.

“Seterusnya, merancakkan kembali aspek pelancongan, terutama di Arab Saudi melalui kehadiran rakyat Malaysia untuk menunaikan umrah.

“Selain itu, memperkasakan usaha membantu lebih ramai umat Islam di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau sekali gus memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa memastikan hubungan antara kedua-dua negara terus diperkukuh demi manfaat rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya. – Berita Harian

 

 

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *