Home » Langit Terbuka » Kurangkan jumlah perokok pada 2025

Kurangkan jumlah perokok pada 2025

Menteri Kesihatan berkata, pihaknya telah menggiatkan usaha pemerkasaan dan promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengurangkan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 sejajar dengan sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah menggiatkan usaha pemerkasaan dan promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu.

Beliau berkata, usaha terbesar yang telah diambil ialah pewartaan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 sebagai kawasan larangan merokok.

“Kementerian dengan kerjasama rakan kongsi yang terdiri daripada universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta juga telah menganjurkan Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit).

“Perkhidmatan itu telah diperluaskan bukan sahaja di fasiliti awam seperti klinik kesihatan malahan di fasiliti swasta termasuk farmasi komuniti, hospital dan klinik swasta melalui pemberian akreditasi mQuit oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Promosi Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit) sempena pewartaan tempat makan sebagai tempat larangan merokok di sini.

Menurut Dzulkefly, sehingga kini, golongan perokok yang ingin menyertai mQuit boleh mendapatkan perkhidmatan itu di 731 klinik kesihatan, 46 hospital kerajaan dan 164 fasiliti swasta yang telah diberikan akreditasi.

“Sambutan terhadap perkhidmatan mQuit juga mendapat sambutan yang baik dan sehingga minggu kedua Februari lalu, sebanyak 143 orang telah berdaftar untuk berhenti merokok. Saya amat berharap jumlah itu akan bertambah selepas ini,” katanya.

Selain itu katanya, selaras dengan perluasan tempat atau kawasan larangan merokok di negara ini, kementerian komited untuk memberikan bantuan kepada semua perokok agar dapat berhenti merokok dan hidup secara lebih sihat.

Dalam pada itu katanya, melalui program mQuit, syarikat Johnson and Johnson Sdn. Bhd. pada hari ini juga telah menyumbang 100,000 papan tanda larangan merokok yang mempunyai paparan nombor talian infoline berhenti merokok dan laman web jomquit.moh.gov.my. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *