Home » Langit Terbuka » Perbanyakkan Dialog, Elak Pertelingkahan

Perbanyakkan Dialog, Elak Pertelingkahan

YADIM menyarankan dialog di antara agama diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai agama masing-masing dan seterusnya mencari titik-titik persamaan. - Foto Sinar Harian

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah agar menghentikan perbuatan mempersenda keperibadian Raslullah SAW dan mencemar kesucian Islam.

Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM berpendapat titah Baginda itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian dan dihayati oleh semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam kerana perbuatan tersebut (menghina Rasulullah) boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

YADIM juga menyambut baik tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu penghinaan ke atas baginda Rasululullah apabila dua individu didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan, baru-baru ini.

Tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu ini dengan mendakwa individu yang menghina Rasulullah membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah memandang ringan isu berkenaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pengenalan Gagasan Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud bahwa kerajaan akan berlembut dengan sebarang bentuk perbuatan yang mencemarkan kesucian agama Islam.

Umumnya sudah mengetahui bahawa tunjang kepada formula kejayaan Malaysia adalah semangat persepakatan dan saling memahami peradaban dan kehendak antara pelbagai kelompok etnik.

Meskipun kerajaan hari ini sentiasa bersikap terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, namun masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah dan berita palsu serta mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketidakharmonian antara agama.

Kedaulatan agama Islam sentiasa diletakkan di tempat yang tertinggi berasaskan kepada kedudukannya sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini.

Dalam menangani isu ini agar tidak terus menggugat keharmonian masyarakat, YADIM menyeru seluruh rakyat negara ini supaya menghentikan sebarang bentuk provokasi khususnya yang berkaitan dengan agama di semua platform.

YADIM juga menyarankan dialog di antara agama diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai agama masing-masing dan seterusnya mencari titik-titik persamaan dalam isu sejagat seperti isu penindasan, pengganas, masalah sosial dan sebagainya.

Dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban.

Umat Islam juga perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap golongan tertentu yang sentiasa mencari jalan untuk mencetuskan ketidakstabilan di negara ini.

Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
5 Mac 2019

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *