Home » Langit Terbuka » Baja, racun subsidi diagih sebelum hujung minggu ini

Baja, racun subsidi diagih sebelum hujung minggu ini

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani komited dalam menambah jumlah peruntukan yang sedia ada pada masa hadapan dalam usaha membantu pesawah di seluruh negara, ujar menterinya. - Foto Hiasan NBKSB

KAMPUNG GAJAH – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan agihan bantuan baja tambahan nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) serta racun akan diagihkan kepada 322,000 pesawah seluruh negara sebelum hujung minggu ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kelewatan yang berlaku sebelum ini adalah kerana kementerian perlu menunggu kelulusan khas daripada Kementerian Kewangan untuk menyambung kontrak Skim Insentif Pengeluaran Padi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) .

Beliau berkata, kelewatan pengagihan itu berlaku dalam tempoh kira-kira seminggu dan hanya membabitkan input racun dan tidak membabitkan baja NPK.

“Alhamdulillah, semalam perkara itu sudah dapat kita selesaikan dan diharapkan tidak timbul isu sawah padi dapat kurang (hasil) daripada apa mereka dapat sebelum ini.

“Justeru, saya harap kita dapat memastikan bekalan mencukupi dan lebih bersedia pada musim akan datang sekaligus tidak lagi menimbulkan isu kononnya kerajaan baharu telah memotong subsidi kepada pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Serahan Baja Tambahan NPK dan Racun kepada petani kawasan Seberang Perak di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 53,708 beg bantuan baja tambahan NPK dan racun bernilai keseluruhan RM1.7 juta diagihkan kepada petani di kawasan Seberang Perak membabitkan seramai 4,270 penerima.

Salahuddin berkata, kementeriannya komited dalam menambah jumlah peruntukan yang sedia ada pada masa hadapan dalam usaha membantu pesawah di seluruh negara.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Razali Yahya, 40, mengakui lega dengan pengagihan bekalan berkenaan kerana sebelum ini dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak kira-kira RM800 untuk membeli racun bagi kegunaan empat hektar sawah miliknya.

Katanya, biarpun sebelum ini pernah berlaku kelewatan namun mereka tahu yang input berkenaan tetap akan datang dan mengakui ada bertanyakan soal kelewatan agihan kepada pihak PPK.

“Padi perlu diberi racun rumpai pada usia 16 hingga 20 hari namun sekarang sudah 30 hari, sebab itu saya terpaksa beli racun dulu kerana jika lewat, ia akan memberikan kesan kepada pertumbuhan padi yang kurang sihat selain menyebabkan rumput naik.

“Baja NPK pula diperlukan dalam tempoh 50 hingga 55 hari dan saya berterima kasih kepada kementerian dengan bantuan ini namun berharap selepas ini ia dapat distruktur semula dan diberi lebih awal,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *