Home » Langit Terbuka » KWSP yakin Simpanan Shariah beri dividen yang baik

KWSP yakin Simpanan Shariah beri dividen yang baik

KUALA LUMPUR 20 Jun – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahu memastikan produk persaraan baharunya yang patuh syariah, dinamakan sebagai Simpanan Shariah mampu memberi kadar dividen yang sama seperti produk konvensional sedia ada dalam jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, produk konvensional mungkin mempunyai kelebihan kerana boleh dilaburkan di dalam saham-saham perbankan yang memberi pulangan yang tinggi. Tetapi katanya, ketika ini sudah terdapat banyak saham-saham patuh syariah yang sudah mampu menjana pulangan saham yang tinggi.

“Di peringkat awal mungkin terdapat perbezaan dari segi kadar dividen antara Simpanan Shariah dan pelaburan konvensional namun ia boleh diseimbangkan dalam jangka masa panjang tambahan pula kini semakin banyak aset-aset patuh syariah yang boleh dilaburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat media mengenai pelancaran produk persaraan patuh syariahnya itu di sini hari ini.

Simpanan Shariah akan bermula Januari 2017 dengan peruntukkan RM100 bilion iaitu sekitar 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion setakat 30 Mac 2016.

Para pencarum yang mahu mengubah simpanan KWSP ma­sing-masing yang sedia ada kepada Simpanan Shariah boleh ke pejabat-pejabat KWSP bermula 8 Ogos 2016. Untuk melayakkan diri menyertai Simpanan Shariah tahun 2017 itu, pencarum perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember 2016 namun tertakluk kepada kuota RM100 bilion yang diperuntukkan.

Namun kata Shahril, produk Simpanan Shariah tidak akan menjamin sebarang dividen sepertimana produk konvensio­nal kerana ia akan bergantung sepenuhnya terhadap prestasi pelaburan yang dibuat.

“Tetapi berdasarkan kemampuan KWSP menguruskan dana pencen selama ini, kami akan memberi perkhidmatan terbaik bagi menjana pulangan kepada Simpanan Shariah,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan United Kingdom (UK) yang mungkin keluar daripada Kesa­tuan Eropah (EU), beliau berkata kesan negatif kepada aset-aset hartanah KWSP mungkin bersifat sementara terutamanya dari segi pulangan sewa.-UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *