Home » Langit Terbuka » Perkim rancang wujud Pusat Komuniti Pemulihan Strok baharu

Perkim rancang wujud Pusat Komuniti Pemulihan Strok baharu

KUALA TERENGGANU 18 Jun – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) merancang untuk mewujudkan Pusat Komuniti Pemulihan Strok (Score) baharu di ibu negara dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan terbaik kepada golongan memerlukan.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, cadangan itu dilihat mampu menampung keperluan pesakit angin ahmar dari seluruh negara dengan kemudahan perubatan berkualiti tinggi.

Katanya, ketika ini, Perkim sedang dalam proses menaik taraf pusat sedia ada di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

“Pusat ini sudah beroperasi lebih lima tahun dan kita menerima pesakit daripada pelbagai kaum jadi kita memerlukan kawasan yang lebih besar lebih-lebih lagi dengan jumlah pesakit strok yang meningkat setiap tahun.

“Kita sedang memperhalusi cadangan itu kerana ia selaras dengan matlamat Perkim dalam pelaksanaan kerja-kerja kebajikan yang terbukti telah memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 48 pesakit di Wad 7C di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Perkim Terengganu, Prof. Dr. Ramli Abdullah dan Naib Pengerusinya, Anuar Hassan.

Score yang mendapat kerjasama pakar-pakar daripada Universiti Malaya menggunakan satu pendekatan baru untuk memenuhi keperluan golongan sasar menerusi penggabungan elemen kemasyarakatan, khidmat sukarela dan kemudahan terapi.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk khidmat pemulihan, urut tradisional, senaman menggunakan peralatan, pemeriksaan tekanan darah serta paras gula diikuti khidmat nasihat oleh pegawai bertugas.

Sementara itu, Mohd. Yusof berkata, Score akan dibuka semula Ogos ini setelah projek menaik taraf dan pembelian peralatan selesai dilakukan.

Katanya, semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama boleh datang mendapatkan manfaat daripada kemudahan itu bagi memastikan kebajikan pesakit terutamanya golongan lanjut usia dijaga, sekali gus membantu mereka pulih daripada penyakit yang dialami.-UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *