Home » Langit Terbuka » Lebih 3,000 tutup akaun Tabung Haji – Saksi

Lebih 3,000 tutup akaun Tabung Haji – Saksi

Seramai 3,954 pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang telah menutup akaun Tabung Haji mereka pada tempoh Januari hingga Februari 2016

KUALA LUMPUR 12 Mac – Seramai 3,105 daripada 3,954 pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang telah menutup akaun Tabung Haji mereka pada tempoh Januari hingga Februari 2016 telah hilang kelayakan menunaikan haji termasuk kehilangan tahun giliran menunaikan ibadah itu.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Rozaida Omar dalam keterangannya di Mahkamah Majistret di sini hari ini memberitahu, pendeposit terlibat perlu mendaftar semula sekiranya ingin menunaikan haji dan menunggu dalam tempoh yang lebih lama.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini terdapat pengeluaran atau penutupan akaun, namun alasan yang diberikan adalah lebih kepada bersifat peribadi seperti kematian, pembelian rumah dan pelaburan.

“Namun bagi tempoh yang dikaji, terdapat beberapa pendeposit yang menyatakan mereka tidak yakin dengan pengurusan, hilang kepercayaan dan ingin melabur di tempat lebih selamat.

“Tabung Haji telah memantau pergerakan simpanan dan pengeluaran pendeposit setiap hari dan dalam tempoh artikel-artikel berhubung Tabung Haji dalam media sosial pada 9 Februari 2016 terdapat banyak aktiviti pengeluaran di luar jangkaan berbanding sebelumnya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abas dalam perbicaraan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Beliau yang diwakili peguam, Gobind Singh Deo, Haijan Omar dan Adi Zulkarnain didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, kira-kira pukul 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Rozaida yang merupakan saksi pendakwaan ketiga berkata, pernyataan yang mendakwa Tabung Haji membayar bonus pada tahun 2013 melebihi keuntungan bermotifkan pilihan raya adalah tidak benar sama sekali.

Malah, pemberian hibah kepada pendeposit pada awal tahun 2015 yang didakwa berlatarbelakangkan krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah mengikut peruntukan dan tiada kaitan syarikat itu.

“Tabung Haji adalah satu institusi kewangan yang ditubuhkan secara statutori dan mempunyai urus tadbir yang mampan.

“Sebarang kecenderungan yang menyatakan bahawa Tabung Haji boleh digunakan sebagai bahan politik menjejaskan pengurusan perbadanan itu sendiri,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar bersambung 4 April ini.  – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *