Home » Langit Terbuka » Lelaki dihadapkan ke mahkamah kerana hina Agong

Lelaki dihadapkan ke mahkamah kerana hina Agong

Berdasarkan hasil siasatan, ada lapan posting yang didapati menghina dan menggunakan perkataan kesat terhadap Yang di-Pertuan Agong, dilakukan oleh tertuduh, kata Polis Diraja Malaysia - Foto MyNewsHub

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini (8 April) atas lapan pertuduhan kerana menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata suspek ditahan pada Jumaat lalu berikutan siasatan terhadap satu posting berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Twitter ‘Fazrin Ismail’.

“Pada 28 Mac lalu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) memulakan siasatan ke atas pemilik Twitter berkenaan yang memuat naik perkataan bersifat jelik dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, iaitu kecenderungan menghasut, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari hingga semalam bagi membantu siasatan.

Berdasarkan hasil siasatan, katanya, ada lapan posting yang didapati menghina dan menggunakan perkataan kesat terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan dipersetujui supaya lapan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah (6), esok (hari ini), untuk prosiding pertuduhan,” katanya.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada Raja dan negara, sekali gus tidak membuat, menerbit atau mengedarkan kenyataan, khabar angin serta berita yang mempunyai kecenderungan menghasut.

“Jauhkan diri daripada perkara sedemikian kerana boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan serta mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“PDRM tidak akan berkompromi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *