Home » Langit Terbuka » Persatuan Peguam Syarie sedia khidmat nasihat atas talian sepanjang PKP

Persatuan Peguam Syarie sedia khidmat nasihat atas talian sepanjang PKP

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian bagi memudahkan urusan perundangan syariah dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut Presidennya, Musa Awang, melalu program atas talian itu, umat Islam yang menghadapi masalah dan mempunyai isu atau konflik perundangan syariah boleh mendapatkan khidmat nasihat.

Katanya, mereka boleh menghubungi pihaknya menerusi aplikasi Whatsapp 011-370 9155, emel ke nasihatguamanpgsm@gmail.com atau mendapatkan senarai nama Peguam Syarie ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawang www.pgsm.org.my.

“Merujuk kepada PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini, pihak PGSM mengambil maklum berhubung permasalahan masyarakat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah.

“Ini kerana semua mahkamah syariah di seluruh negara telah menangguhkan operasi dan prosiding buat sementara waktu sebagai mematuhi PKP,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan PKP itu telah berlaku konflik dalam rumah tangga masyarakat Islam.

Antaranya, kata Musa, berlaku lafaz perceraian luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak, isu berhubung nafkah anak, kematian suami atau isteri atau waris yang membawa kepada tuntutan harta sepencarian atau faraid, juga berlaku keganasaan domestik dalam rumah tangga, dan berbagai lagi.

“Oleh itu, pihak yang terlibat perlu mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada Peguam-Peguam Syarie yang bertauliah dan khidmat konsultasi yang diberikan melalui medium tersebut adalah percuma.

“Namun, sekiranya ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, mereka akan dipanjangkan kepada lebih 700 Peguam Syarie yang juga ahli PGSM di seluruh negara.

“Mereka ini berada dalam jarak 10 kilometer dari tempat kediaman masyarakat,” katanya.

Kata Musa lagi, program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian itu akan diteruskan walaupun selepas PKP ditamatkan.

Beliau berharap, usaha itu dapat membantu kerajaan dalam menangani kesan pandemik Covid-19 dan kesan pelaksanaan PKP kepada masyarakat, khususnya masyarakat Islam. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *