Home » Langit Terbuka » Lembaga Zakat Kedah wujud kampung mualaf bantu saudara baharu

Lembaga Zakat Kedah wujud kampung mualaf bantu saudara baharu

Kerja-kerja pembinaan rumah di perkampungan Muallaf itu dijangka dapat dimulakan pada tahun hadapan dengan kos tidak melebihi RM1 juta, kata Lembaga Zakat Kedah. - Foto Lembaga Zakat Kedah

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan mewujudkan sebuah perkampungan mualaf khusus untuk ‘saudara baharu’ yang memeluk agama Islam bagi memastikan mereka mempunyai tempat perlindungan untuk membina serta meneruskan kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata pihaknya dalam proses rundingan bersama pihak pengurusan Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah di Kampung Sungai Mati, untuk membina perkampungan itu di tanah seluas 0.6 hektar.

“Kita telah wujudkan jawatankuasa mualaf di LZNK untuk membantu golongan ini. Kita juga ada Skim Rumah Transit Mualaf di Kuala Ketil, mualaf yang ada masalah selepas memeluk Islam seperti tidak mempunyai tempat tinggal dan tiada harta selepas berpisah dengan keluarga boleh duduk di situ.

“Sebab itu kita mahu wujudkan perkampungan ini untuk bantu mereka bina hidup baharu dan kawasan yang kita tengok itu sudah ada pusat pendidikan dilengkapi dengan tadika, sekolah rendah dan pengajian untuk orang tua, jadi tinggal nak bina rumah untuk mereka sahaja,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan rumah di perkampungan itu dijangka dapat dimulakan pada tahun hadapan dengan kos tidak melebihi RM1 juta.

Sementara itu, Syeikh Zakaria berkata setiap mualaf yang dibantu akan mendapat perlindungan selama lima tahun sebelum mereka boleh hidup berdikari.

“Mengikut Majlis Mufti Kebangsaan, status mualaf itu hanya lima tahun dan selepas itu mereka dikira sebagai orang Islam biasa, jadi dalam tempoh itu kita perlulah bantu mereka sehingga mereka mampu untuk meneruskan hidup yang lebih baik,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *