Home » Citra Yadim » Ahli NGO, rakan strategik meriahkan Hari Terbuka YADIM

Ahli NGO, rakan strategik meriahkan Hari Terbuka YADIM

PUTRAJAYA – Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini (27 November) yang julung kali diadakan menerima sambutan meriah dengan orang awam, rakan strategik dan ahli ahli badan bukan kerajaan (NGO) mengunjunginya sejak awal pagi.

Selaku badan yang menyelaras NGO Islam di negara ini, maka sudah tentu ia menjadi tumpuan mereka yang tidak melepaskan peluang mengenali dengan lebih rapat lagi badan dakwah ini.

Antara NGO yang menghantar wakil mereka ke majlis yang diadakan di ibu pejabat YADIM hari ini ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Mediacom, Yayasan Ihtimam, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Institut Pengajian Al Quran (IPAQ) dan Yayasan Al Hikmah.

Tidak ketinggalan ialah wakil dari HALUAN, Hidayah Centre, Yayasan Muallaf Malaysia, Institut Al Musab, IKRAM Wilayah Persekutuan, Yayasan Kebajikan Akhyar Malaysia dan banyak lagi.

Ia turut menerima kunjungan seramai 50 orang penduduk Orang Asli dari Gerik Perak, yang turut serta dalam acara acara yang disediakan hari ini.

Hari Terbuka YADIM dimulakan dengan Forum 3 Entiti yang melibatkan tiga entiti utama bernaung di bawah badan ini iaitu Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) dan Nadwah Ulama Ilmuan Malaysia (NUIM).

MAIM diwakili oleh Pengerusinya, Mohamad Raimi Abdul Rahim, NUIM oleh ahli jawatankuasanya, Dr Hajar Opir, MAWAR pula oleh Ketua Kluster Pendidikannya, Sallawahiu Mohd Salleh. Seorang lagi ahli Jawatankuasa NUIM, Dr Mohd Hadi Zahalan merupakan moderator forum ini.

Forum selama lebih sejam ini membicarakan tentang sejarah, fungsi dan peranan ketiga tiga entiti ini yang ditubuhkan bagi membantu YADIM menjalankan gerak kerja dakwahnya.

Forum ini mendapat sambutan luar biasa hadirin, terutamanya dari kalangan ahli ahli NGO yang memenuhi dewan acara ini dijalankan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan slot Bedah Buku bertajuk ‘Menyingkap Rahmat Buat Umat” hasil tulisan Timbalan Yang DiPertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkhranain Abidin.

Kandungan buku ini menyentuh mengenai konsep rahmah dan Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang kini diketengahkan kerajaan. Menurut Zolkharnain, beliau menulis buku ini bagi menjelaskan kekeliruan tentang Islamophobia dan ekstrimisme yang sering dikaitkan dengan agama ini.

Kemuncak program ialah acara perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Fuziah Salleh. Antara yang hadir sama ke majlis perasmian selain Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz ialah Zolkharnain, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, wakil wakil agensi kerajaan, rakan NGO, serta orang awam.

Dalam ucapan aluannya Nik Omar berkata, adalah penting untuk mempromosi dan menguar-uarkan mengenai agensi Islam serta sebarang program yang dilaksanakannya sebagai makluman kepada masyarakat.

Menurutnya, masyarakat ingin tahu apakah bentuk program yang sesebuah agensi itu laksanakan bagi menyantuni mereka.

Fuziah pula dalam ucapan perasmiannya berkata, sebagai agensi yang menyelaras NGO Islam di negara ini, YADIM sebenarnya mempunyai peranan besar dalam menyatu padukan umat Islam.

NGO Islam katanya mempunyai sumbangan penting menerusi program kemasyarakatan yang dijalankan mereka, justeru, YADIM selaku penyelaras mempunyai tanggungjawab besar yang dipikul bagi tujuan itu.

Tambahnya, selain menyelaras NGO Islam, YADIM yang berada di barisan hadapan dalam bidang dakwah di negara ini perlu menunjuk dan menjelaskan kepada orang awam imej Islam sebenar seperti di bawa Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas penganjuran hari terbuka ini yang menurutnya mampu memasyarakatkan YADIM.

Dalam majlis perasmian juga, Fuziah diberi penghormatan melancarkan Pasukan Sukarelawan Al Rahmah Putrajaya.

Hari Terbuka YADIM kemudiannya bersambung selepas rehat dengan Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Dakwah Tanggungjawab Siapa?’ yang disiarkan secara langsung oleh akhbar tersebut menerusi laman Facebook mereka.

Ia menampilkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustazah Maznah Daud, pendakwah bebas, Firdaus Wong serta Naib Pengerusi NUIM, Nicholas Sylvester sebagai ahli panel manakala CEO Arba Foundation, Azlan Shah Nebees Khan sebagai moderator.

Sementara itu, antara pengisian lain Hari Terbuka YADIM termasuklah pameran pasukan Cuci-Cuci Rahmah YADIM, Klinik bacaan Al Fatihah, pendaftaran Sukarelawan Al Rahmah, kuiz Rakan Sahabat YADIM, Pameran Institut Latihan Dakwah Yadim (ILDAN), pertandingan Teka Berat Buku, ujibakat membaca berita, pemeriksaan kesihatan percuma oleh PICOMS dan cabutan bertuah ibadah Umrah.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *