Home » Langit Terbuka » Maidam tarik semula arahan pemakaian pelitup muka di masjid, surau.

Maidam tarik semula arahan pemakaian pelitup muka di masjid, surau.

Penarikan arahan itu dibuat selepas melihat perkembangan semasa kes COVID-19 yang semakin rendah. -Gambar Berita Harian
KUALA TERENGGANU: Semua jemaah masjid serta surau di Terengganu tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka mulai hari ini.
Arahan pemansuhan ketetapan tersebut dibuat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dengan perintah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata penarikan arahan itu dibuat selepas melihat perkembangan semasa kes COVID-19 yang semakin rendah.
“Pada 7 Sept 2020, Maidam telah mengeluarkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan jemaah masjid serta surau dan masih berkuat kuasa sehingga hari ini.
Bagaimanapun selepas meneliti keadaan semasa dan panduan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, kita tarik balik arahan tersebut dan jemaah punya pilihan untuk terus pakai ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata bagi jemaah yang mempunyai gejala seperti batuk, demam dan selesema, mereka masih digalakkan memakai pelitup muka untuk mengelak jangkitan kepada orang lain.
Menurutnya, Sultan Mizan turut menitahkan supaya rakyat terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta keluarga masing-masing terutama menjelang Ramadan dalam masa beberapa hari lagi.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T dengan perkembangan semasa yang semakin baik.
“Bagaimanapun baginda mahu rakyatnya tidak leka dan terus mengambil berat hal-hal kebersihan demi kesihatan,” katanya.
— BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *