Home » Langit Terbuka » Majlis Madani ditubuhkan untuk terjemah konsep, laksana program sesuai

Majlis Madani ditubuhkan untuk terjemah konsep, laksana program sesuai

Timbalan Perdana Menteri di Konvensyen Perpaduan NGO NGO Islam 2023. - Foto Malay Mail

BANGI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menubuhkan Majlis Madani bagi menterjemahkan konsep kerajaan Madani serta melaksanakan program sesuai dengan gagasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang antara lain menyelaras program rasmi sesuai dengan konsep kerajaan dan masyarakat Malaysia Madani .

Katanya, maklumat lanjut berhubung majlis itu akan diumumkan Perdana Menteri sendiri.

“Apa yang penting, kita mahu mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menterjemahkan pelaksanaan falsafah dan konsep masyarakat Madani ini supaya difahami dan menyantuni semua pihak.

“Konsep dan falsafah Madani ini perlu menyantuni kepelbagaian agama, budaya bahasa dan latar belakang masyarakat,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau mewakili Perdana Menteri menutup Konvensyen Perpaduan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam 2023, di sini, hari ini.

Konvensyen itu dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dihadiri wakil 150 NGO Islam seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, Majlis Madani itu juga bagi membolehkan pembabitan semua pihak dalam menterjemahkan prinsip Malaysia Madani.

Katanya, adalah diharapkan dengan adanya majlis itu bukan saja konsep itu difahami tetapi ia diterjemah melalui pelaksanaan program yang berstruktur.

Beliau menjelaskan konsep Madani itu bukan hanya untuk orang Islam saja tetapi rakyat seluruhnya sesuai dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau mengajak NGO Islam menterjemahkan konsep Madani dengan menyantuni agama lain tanpa berkompromi dengan prinsip Islam.

Menyantuni tanpa berkompromi dengan prinsip ini sering kali disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang mereka dakwa akan melunturkan nilai Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Dalam prinsip masyarakat Madani ini kita melakukan bukan untuk memberikan kesemarataan tetapi kesaksamaan bagi keadilan kepada masyarakat,” katanya

Beliau juga mengajakNGO berperanan sebagai pendakwah menggunakan kebijaksanan dan ketatasusilaan dalam menyampaikan dakwah bukannya kekerasan

Katanya, jika dakwah dijalankan dengan penuh hikmah dan hasanah, maka ia lebih mudah diterima masyarakat.

“Jangan lakukan pendekatan yang menekan dan berbentuk paksaan,” katanya.

Sebanyak 10 resolusi dicapai dalam konvensyen itu termasuk pembangunan kompleks lengkap dengan fasiliti milik bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan daripada dana kerajaan bagi membolehkan kerja khidmat sosial dan kesukarelawanan dapat dilaksanakan

Beliau mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi penubuhan kompleks khusus untuk NGO Islam berkenaan.

“Saya pasti Perdana Menteri akan setuju dengan penubuhan kompleks khas untuk NGO Islam ini dan mohon dimasukkan dalam belanjawan 2024 nanti.

“Pada masa ini kita akan bersama-sama mencari lokasi sesuai dan strategik bagi meningkatkan imej NGO Islam,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *