Home » Langit Terbuka » MAIS pantau ketat ajaran sesat pesantren Jawa Barat

MAIS pantau ketat ajaran sesat pesantren Jawa Barat

ABDUL Aziz Mohd. Yusof (kiri) bersama peserta Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan di UITM Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
ABDUL Aziz Mohd. Yusof (kiri) bersama peserta Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan di UITM Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memantau ketat ajaran sesat yang didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok atau pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, beliau setakat ini belum dimaklumkan secara terperinci mengenai isu tular tersebut, namun MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantau rapi secara berterusan mengenai semua ajaran sesat di negeri ini.

Jika unsur ajaran sekolah pondok di Indonesia itu dikesan, kita akan berurusan dengan jabatan islam republik itu bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, hari ini.

Program anjuran Maahad Tahfiz Ismail (MTI) dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Selangor (PITAS) dan Jabatan Islam Agama Islam Selangor (JAIS) itu disertai lebih 400 pelajar maahad tahfiz dari seluruh negara.

Baru-baru ini, seorang selebriti Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia menghadiri satu majlis kontroversi melibatkan sekolah pondok berkenaan yang tercetus apabila pengasasnya tular meminta pengikut menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew.

Selain itu, khutbah solat Jumaat di sekolah berkenaan disampaikan seorang wanita dan cara laungan azan pelajarnya menghadap jemaah sekali gus mengelirukan orang ramai.

Pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad turut mengecam tindakan menyanyikan lagu salam bagi orang Yahudi berjudul Honevu Shalom di masjid pesantren tersebut.

Pesantren itu antara sekolah pondok terbesar di Asia Tenggara dan mula beroperasi pada 1996 di atas kawasan seluas 1,200 hektar dengan lebih 7,000 pelajar termasuk dari negara ini.

Jelas Abdul Aziz, proses bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sesebuah ajaran sesat bukan dianggap perkara mudah.

“Ia memerlukan strategi dan operasi strategik bagi mengetahui apa yang diajar mereka dan faktor lain. Justeru, kita turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain bagi membanteras perkara itu,” tegasnya.

Tambah beliau, MAIS turut mempunyai pusat pemulihan di Baitul Iman, Hulu Yam bagi penghuni yang terpesong dari ajaran Islam sebenar.

“Mereka terjebak dalam ajaran sesat antaranya berpunca masalah salah pemahaman berkaitan agama. Berikutan itu, kita perlu ada pakar tertentu di pusat Baitul Iman bagi memperbetulkan semula kepercayaan mereka,” jelasnya.

Abdul Aziz meminta orang ramai yang berasa curiga atau keliru mengenai sesebuah ajaran supaya segera merujuk kepada MAIS atau Bahagian Penguatkuasaan JAIS bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *